Apabila AI Membantu Menulis, Siapakah Yang Sebenarnya Berfikir?

Tidak dinafikan, kemunculan kecerdasan buatan (AI) generatif dalam dunia pendidikan tinggi telah mula mengubah cara manusia mencari maklumat, menghasilkan idea dan berkomunikasi. Dalam konteks universiti, AI bukan lagi sekadar teknologi masa hadapan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada realiti pembelajaran mahasiswa hari ini yang tidak dapat dielakkan.

Namun, persoalan yang lebih besar bukanlah sama ada mahasiswa patut menggunakan AI atau tidak atau sama ada mereka boleh atau tidak menggunakan AI. Persoalan utamanya ialah bagaimana teknologi ini digunakan tanpa menghakis kemahiran asas yang menjadi teras pendidikan tinggi, khususnya keupayaan berfikir secara kritis, membuat analisis dan menghasilkan penulisan yang mencerminkan pemahaman sebenar di tahap yang diperlukan.

Mendaki tangga pengajian tinggi adalah mustahil tanpa melibatkan proses penulisan. Melalui proses menulis, mahasiswa belajar menyusun pemikiran, membina hujah, menilai maklumat dan menyampaikan idea secara sistematik. Kita sedar bahawa penulisan bukan sekadar menghasilkan ayat yang gramatis, tetapi satu proses intelektual yang membentuk cara seseorang memahami sesuatu isu.

Cabaran yang dihadapi oleh universiti hari ini ialah sebahagian mahasiswa masih berdepan kelemahan dalam asas penulisan. Ada yang mampu mendapatkan maklumat dengan pantas, tetapi kurang yakin untuk membina pandangan sendiri, menilai kesahihan sumber atau menghubungkan teori dengan realiti masyarakat. Dalam keadaan ini, AI boleh menjadi alat yang membantu, tetapi tidak seharusnya menggantikan proses pemikiran manusia.

Dalam hal ini, saya melihat penggunaan AI dalam penulisan akademik wajar dilihat sebagai alat sokongan. Mahasiswa boleh memanfaatkannya untuk menjana idea awal, memahami konsep yang kompleks, menyemak struktur penulisan atau memperbaiki penggunaan bahasa. Namun, tanggungjawab intelektual terhadap hasil penulisan tetap berada di tangan mahasiswa sebagai penulis.

Yang kita takuti, kebergantungan sepenuhnya kepada AI boleh membawa risiko terhadap perkembangan kemahiran berfikir. Sesebuah tulisan mungkin kelihatan kemas dari segi bahasa, tetapi persoalan penting ialah sama ada penulis benar-benar memahami hujah yang dikemukakan. Dalam dunia akademik, nilai sesebuah penulisan bukan hanya terletak pada bentuk penyampaian, tetapi pada kedalaman pemikiran dan keupayaan membuat pertimbangan.

Justeru, institusi pengajian tinggi wajar mempertimbangkan pendekatan baharu dalam menilai hasil penulisan mahasiswa. Dalam era AI, tugasan yang hanya meminta mahasiswa menghasilkan esei berdasarkan fakta mungkin kurang mencabar dari segi pemikiran. Sebaliknya, tugasan yang melibatkan analisis isu semasa, pengalaman lapangan, temu bual, refleksi kendiri dan aplikasi teori dalam konteks tempatan boleh membantu menghasilkan penulisan yang lebih asli dan mencabar dari segi proses pelaksanaannya.

Pendekatan ini tidak bermaksud kita menolak penggunaan AI, tetapi memastikan teknologi tersebut digunakan secara bertanggungjawab. Sama seperti teknologi lain yang diperkenalkan dalam pendidikan, AI memerlukan kefahaman tentang batas, etika dan tujuan penggunaannya.

Selain itu, literasi AI juga semakin penting untuk dipertimbangkan dalam pendidikan tinggi. Mahasiswa perlu memahami bahawa kecekapan menggunakan AI bukan hanya bermaksud mengetahui cara menghasilkan arahan (prompt) yang baik, tetapi juga memahami isu seperti ketepatan maklumat, bias teknologi, hak cipta dan integriti akademik.

Dalam konteks ini, peranan pensyarah turut berubah. Pensyarah bukan hanya menjadi penyampai ilmu, tetapi pembimbing yang membantu mahasiswa membangunkan kemahiran menilai, menyoal dan menggunakan teknologi secara beretika. Larangan semata-mata mungkin bukan lagi pendekatan terbaik kerana mahasiswa tetap akan berhadapan dengan teknologi ini dalam kehidupan profesional mereka kelak.

Sebaliknya, pendidikan tinggi perlu membantu mahasiswa menjadi pengguna teknologi yang matang. Mereka perlu memahami bahawa AI boleh menghasilkan teks, tetapi tidak mampu menggantikan pengalaman manusia, nilai kemanusiaan, pertimbangan moral dan kebijaksanaan dalam memahami sesuatu isu.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa masa depan penulisan universiti bukanlah persaingan antara manusia dengan mesin. Ia sebenarnya adalah hubungan antara keupayaan manusia dan bantuan teknologi. AI mungkin mampu membantu menghasilkan tulisan yang lebih pantas, tetapi pemikiran kritis tetap menjadi asas kepada hampir segala bentuk ilmu.

Akhirnya, persoalan penting yang perlu direnungkan bukanlah “Adakah AI akan menggantikan penulis?”, tetapi “Adakah manusia masih mahu berfikir sebelum menulis?” Dalam era AI ini, universiti mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan mahasiswa bukan sekadar mampu menggunakan teknologi, tetapi mampu mengawal teknologi dengan ilmu, etika dan kebijaksanaan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter