CYBERJAYA, 26 September 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) meneruskan usaha memperkasa kemahiran pengamal media menerusi Training for Weekly Echo yang berlangsung selama dua hari, 25 dan 26 September 2026 di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Program yang dilaksanakan di bawah Program Dana Inovasi Media itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kewartawanan, strategi podcast serta asas editorial.
Pada hari pertama, peserta mengikuti sesi AI Awareness & Prompting Skills for Journalists yang dikendalikan oleh Mr. Cletus de Rozario, Industry 4.0 Specialist dan Certified Master Trainer in Business Analysis & Intelligence.
Sesi tersebut merangkumi pengenalan kepada AI dalam kewartawanan, jenis-jenis AI yang digunakan dalam media, kemahiran prompting, penggunaan AI untuk penyelidikan berita serta aspek etika dan tadbir urus AI dalam organisasi media.
Peserta turut menjalani aktiviti praktikal termasuk penerokaan pelbagai alat AI yang boleh membantu tugasan kewartawanan, menghasilkan draf artikel, memperbaiki tajuk berita, membina soalan temu bual serta menjalankan penyelidikan menggunakan AI.
Pada hari kedua, program diteruskan dengan Podcast Strategy and Exercise Workshop yang dikendalikan oleh Gen Duis dari Vinoun Films. Beliau merupakan seorang pembikin filem, penerbit dan penulis dari Malaysia yang turut terlibat dalam penghasilan kandungan berkaitan warisan, budaya dan sejarah sosial Malaysia.
Sesi sebelah petang pula diteruskan dengan Editorial Basics yang dikendalikan oleh Datuk Yong Soo Heong, Presiden MPI serta bekas Ketua Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama.
Datuk Yong mempunyai pengalaman hampir lima dekad dalam industri media dan pernah memegang pelbagai jawatan kanan dalam bidang editorial serta pengurusan media.
Menerusi program ini, peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengadaptasi teknologi AI, penghasilan kandungan podcast serta asas editorial bagi menyokong keperluan penerbitan media dalam landskap kewartawanan yang semakin berkembang.
Training for Weekly Echo berlangsung dari 25 hingga 26 September 2026 di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
#mpicommit














