PUTRAJAYA, 27 Oktober 2026 – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah menganjurkan Anugerah Media 2026: Akademi Dalam Industri – Dapat Kerja, Gaji dan Kemahiran yang berlangsung di Mesméra Ballroom, The Everly Putrajaya, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), A.R. Jaya Singam. Dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM218.5 bilion bagi separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pelaburan tersebut melibatkan 2,746 projek yang dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan.
Majlis ini menghimpunkan pengamal media, wakil industri serta pelbagai pihak berkepentingan bagi meraikan sumbangan media dalam menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembangunan bakat, kemahiran serta produktiviti negara.
Penganjuran anugerah ini turut menjadi platform bagi mengiktiraf usaha pengamal media dalam mengetengahkan inisiatif pembangunan modal insan, khususnya melalui pengukuhan hubungan antara industri dengan institusi pendidikan dan latihan.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang Anugerah Media ADI 2026. Semoga pengiktirafan ini terus menyemarakkan kerjasama strategik antara MPC, MPI dan pengamal media dalam menyokong agenda pembangunan bakat, peningkatan produktiviti serta daya saing negara.
#MPIcommit






