ANUGERAH
TERIMA KASIH PERDANA MENTERI

TERIMA KASIH PERDANA MENTERI

KENYATAAN MEDIA

Cyberjaya, 30 November – Malaysian Press Institute (MPI) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kesudian beliau menjadi tetamu kehormat pada Malam Wartawan Malaysia 2021.

Pada majlis yang berlangsung pada 30 November 2021 di Hotel Majestic Kuala Lumpur beliau akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020.

Selain menyampaikan ucapan, beliau juga akan melancarkan buku terbaharu terbitan MPI berjudul Bisnes Media dan Prinsip Jurnalistik.

400 orang tetamu dijangka hadir memeriahkan MWM 2021.

Sementara itu, penyertaan HKM 2020 merosot sedikit berbanding HKM 2019.

Bagaimanapun, penyertaan portal berita bertambah. Ini memberi gambaran bahawa bergerak ke hadapan media tradisional akan berhadapan dengan saingan sengit daripada organisasi media alam maya.

Antara media alam maya yang hantar penyertaan HKM 2020 ialah The Vibes, Malaysia Gazette, Malaysiakini, Malaysian Insight & TV Pertiwi.

Bagi HKM 2020, 228 orang pengamal media telah mengambil bahagian berbanding 308 penyertaan pada HKM 2019. Penurunan sebanyak 26 peratus bilangan penyertaan adalah daripada tiga kategori iaitu Kewartawanan Foto Cemerlang, Foto Esei Cemerlang dan Infografik Terbaik.

Juga turut menyumbang kepada kemerosotan adalah bagi dua kategori yang tidak lagi dipertandingkan iaitu Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, yang disatukan dengan kategori Penulisan Rencana Cemerlang dan Kartun Editorial Terbaik yang kita tiadakan kerana sambutan yang tidak memberangsangkan dari segi penyertaan sejak ia pertama kali diperkenalkan.

Bagi kategori-kategori lain penyertaannya adalah stabil.

Mulai HKM 2020, hadiah kepada pemenang dikenali sebagai Pemenang Emas, Pemenang Perak dan Pemenang Gangsa. Pemenang Emas menerima hadiah sebanyak RM10,000, sijil dan trofi, Pemenang Perak menerima hadiah sebanyak RM1,500 dan sijil manakala Pemenang Gangsa pula menerima hadiah sebanyak RM1,000 beserta sijil.

MPI juga memperkenalkan trofi baharu untuk pemenang emas bagi menggantikan trofi sebelum ini.

MPI sukacita memaklumkan bahawa PETRONAS bersetuju untuk menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai HKM 2020 hingga HKM 2022. Kuantumnya kekal RM300,000.

PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994 pada mulanya sebanyak RM70,000, kemudian dinaikkan menjadi RM150,000 pada 2005 dan pada 2009, kuantum tajaan dinaikkan kepada RM300,000.

SUMBANGAN & PENAJAAN

Secara kolektif MPI telah menerima sumbangan dan tajaan bernilai RM412,500 kali ini. Sumbangan dan penajaan itu pada waktu zaman sukar ini amat-amat kami hargai.