Ucapan Alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)

Ucapan Alu-aluan
Ketua Pegawai Eksekutif
Malaysian Press Institute (MPI)
selaku Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2021
Pada Malam Wartawan Malaysia 2021
Selasa, 30 November 2021
Jam 8 malam
Di Hotel Majestic, Kuala Lumpur

  1. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pada tahun 1980, kepimpinan Malaysian Press Institute (MPI) ketika itu telah memecahkan ruyung untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang kewartawanan negara. Hasilnya lahirlah dua produk kembar iaitu Hadiah Kewartawanan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia.
  2. Malam Wartawan Malaysia pertama telah diadakan pada 16 September 1981 untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 1980.
  3. Sejak itu, majlis ini, yang digerakkan oleh industri media untuk mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik yang dihasilkan oleh pengamal media di negara ini telah diadakan secara berterusan.
  4. Alhamdulilah bagi tahun ini setelah tertangguh beberapa kali, dek Covid-19, Malam Wartawan Malaysia 2021, akhirnya dapat dilangsungkan pada malam ini.
  5. Saya bagi pihak Jawatankuasa Penganjur Malam Wartawan Malaysia 2021 mengucapkan selamat datang kepada tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2021, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke majlis yang tidak sepertinya ini.
  6. Terima kasih YAB Perdana Menteri atas kesudian hadir untuk meriahkan majlis ini.
  7. Dalam kalangan komuniti kewartawanan Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bukanlah pemimpin yang asing. Beliau adalah seorang tokoh politik yang mesra wartawan, mudah didekati dan senantiasa menyanjung para pengamal media serta kerja-kerja kewartawanan yang mereka hasilkan.
  8. Buktinya semasa beliau menjadi menteri di pelbagai kementerian, beliau merupakan satu-satunya ahli kabinet yang mengadakan malam media untuk menghargai golongan wartawan setiap tahun, tanpa gagal. Saya tahu sebab MPI diberi peranan sebagai sekretariat penghakiman malam media yang dianjurkan.
  9. Mengadakan malam media ini, beliau lakukan baik semasa menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
  10. Marilah kita semua memberi tepukan yang paling bergemuruh kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
  11. Terima kasih.
  12. Dari sisi lain, kedatangan YAB Perdana Menteri dan para tetamu yang lain, adalah amat bermakna bagi MPI kerana Malam Wartawan Malaysia 2021, adalah majlis kali ke-40 yang kita anjurkan.
  13. Tentunya kita menghargai sokongan kerajaan terhadap program tahunan anjuran MPI. Boleh dikatakan setiap kali Malam Wartawan diadakan, pemimpin tertinggi kerajaan, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau seorang Menteri kanan hadir untuk menjadi tetamu kehormat.
  14. Malam ini giliran Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri hadir. Sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau juga beberapa kali hadir.
  15. Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  16. Tidak dilupakan, MPI juga berterima kasih kepada badan-badan korporat yang turut menghulurkan sumbangan masing-masing untuk menghidupkan Malam Wartawan Malaysia. Bagi tahun ini, senarai penyumbang dinyatakan dalam buku cenderahati majlis ini.
  17. Tatkala penganjuran Malam Wartawan setiap tahun dibiayai oleh sumbangan badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, hadiah untuk para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) pula ditaja sepenuhnya oleh PETRONAS, yang pada malam ini diwakili oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, YBhg Mulia Tengku Datuk Muhamad Taufik Abdul Aziz.
  18. Penajaan PETRONAS ini bermula pada 1994, menggantikan Malayan Tobacco Company (MTC). Pada mulanya nilai tajaan PETRONAS adalah sebanyak RM70,000, kemudian dinaikkan menjadi RM150,000 dan pada 2009 hinggalah sekarang kuantum tajaan bernilai RM300,000 setahun.
  19. Memanglah kalau ikutkan hati Malam Wartawan Malaysia kali ke-40 ini, ingin kami di MPI rayakan secara besar-besaran. Tetapi apakan daya, pandemik Covid-19 belum lagi berakhir. Jadi kita kenalah merayakan mengikut norma baharu dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara  dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
  20. Malah oleh kerana kita berada dalam kawasan tertutup atau confined space, majlis pada malam ini dilaksanakan sepenuhnya mengikut jarak fizikal dari susunan meja, letak tetamu dan bilangan tetamu yang hadir. Atur caranya pula akan kita padatkan, tidak melebihi dua jam setengah, Insya-Allah.
  21. Sebagai penutup bicara, saya sekali mengucapkan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kesudian hadir sebagai tetamu kehormat dan juga kepada semua tetamu lain kerana menerima undangan MPI.
  22. Saya juga memanjangkan penghargaan kepada PETRONAS atas tajaan Hadiah Kewartawanan Malaysia kerana tanpa penajaan tersebut, HKM mungkin sudah lama menjadi sejarah, sama seperti anugerah kewartawanan yang pernah dianjurkan oleh pihak-pihak lain.
  23. Kepada para pengerusi dua Panel Hakim HKM Datuk A. Kadir Jasin dan Datuk Yong Soo Heong, serta ahli-ahli panel penilai yang lain, saya juga berterima kasih kerana mereka telah menyempurnakan penilaian dengan baik terhadap 18 kategori yang dipertandingkan.
  24. Ingin saya tegaskan: Keputusan panel hakim bukan sahaja muktamad tetapi dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di dalam dan di luar MPI, berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Tidak timbul soal pilih kasih, apa lagi warna kulit dalam membuat keputusan.
  25. Kepada para pemenang yang akan menerima hadiah masing-masing, baik hadiah emas, perak dan gangsa yang secara kolektif bernilai RM300,000 tajaan PETRONAS sebentar lagi, saya mengucapkan tahniah atas kejayaan anda.
  26. Akhirnya saya memohon maaf bagi apa juga kelemahan dan kekurangan dalam penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2021 ini.
  27. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum wbt. Terima kasih.