Kuasa Viral: Impak dan Kesan

Fenomena “viral” dalam media sosial pada era digital kini telah menjadi satu kuasa baharu yang mengubah cara masyarakat berinteraksi, berfikir dan membuat keputusan. Kuasa viral bukan sahaja merujuk kepada kelajuan sesuatu maklumat disebarkan, malah ia merangkumi keupayaan kandungan untuk mempengaruhi emosi, persepsi serta tingkah laku khalayak dalam masa yang singkat.

Di Malaysia, istilah viral sering dikaitkan dengan isu sensasi, berita mengejutkan atau video lucu, tetapi hakikatnya, impak viral lebih mendalam daripada sekadar hiburan semata-mata. Ia mampu membentuk agenda masyarakat, menentukan wacana awam, malah mengubah nasib individu, organisasi dan institusi.

Kekuatan viral berpunca daripada sifat asas media sosial yang bersifat pantas, terbuka dan berasaskan perkongsian pengguna. Apabila sesuatu kandungan disebarkan, ia tidak lagi berada dalam kawalan pencipta asal, sebaliknya menjadi milik kolektif khalayak yang memperluas edaran dengan setiap “like”, “share” atau “retweet”.

Dalam hitungan jam, sesuatu berita atau video boleh menjangkau jutaan penonton, melangkaui sempadan geografi, agama, budaya dan politik. Fenomena ini melahirkan satu bentuk kuasa baharu yang kadangkala lebih berpengaruh daripada media arus perdana.

Namun, kuasa viral ini mempunyai dua sisi yang berbeza. Dari satu sudut, ia menjadi alat yang amat berkesan dalam menyampaikan mesej positif, misalnya kempen kesedaran kesihatan, derma kilat untuk mangsa bencana atau promosi produk tempatan yang kecil tetapi akhirnya mendapat perhatian besar.

Kisah-kisah sedemikian membuktikan bagaimana kuasa viral mampu membawa perubahan sosial dengan cepat, menggerakkan solidariti masyarakat dan menyalurkan sokongan dalam bentuk kewangan, moral atau tindakan kolektif. Kuasa viral sering kali menjadi penyelamat dalam keadaan kecemasan, membuktikan bahawa masyarakat digital mempunyai nilai keprihatinan yang tinggi.

Sebaliknya, kuasa viral juga boleh menimbulkan kesan negatif yang serius. Maklumat palsu atau separa benar sering kali disebarkan dengan tujuan tertentu, seperti menjatuhkan reputasi individu, meraih keuntungan politik atau mengapi-apikan isu perkauman dan agama.

Ketika khalayak tidak sempat menilai kebenaran sesuatu maklumat, emosi lebih mudah didahulukan berbanding fakta. Keadaan ini menyebabkan viral sering kali mencetuskan salah faham, panik, bahkan kerosakan imej yang sukar dipulihkan. Ramai individu dan organisasi pernah berdepan trauma reputasi akibat menjadi “mangsa viral” yang tidak adil.

Fenomena viral turut mengubah landskap psikologi khalayak. Ramai pengguna media sosial hari ini berasa terikat dengan budaya “fear of missing out” atau FOMO. Mereka bimbang ketinggalan daripada mengikuti isu viral terkini, lalu sanggup meluangkan masa yang panjang di media sosial, membaca ulasan dan menonton video yang hangat diperkatakan.

Kesan jangka panjangnya ialah wujudnya kebergantungan kepada media sosial sebagai sumber utama maklumat, sekaligus menghakis budaya menyemak kesahihan berita daripada sumber rasmi. Lebih membimbangkan, viral juga menjadi medan perbicaraan awam yang tidak adil, di mana individu dihukum oleh “mahkamah netizen” tanpa sempat membela diri.

Dari perspektif ekonomi dan budaya, kuasa viral telah mengubah cara industri hiburan, pemasaran dan kewartawanan berfungsi. Hari ini, nilai sesuatu kandungan diukur bukan semata-mata pada kualiti, tetapi pada potensi ia untuk menjadi viral.

Syarikat dan jenama besar melabur dalam strategi digital bagi mencipta kandungan yang “boleh dikongsi”, sementara artis dan influencer melihat viral sebagai batu loncatan kepada populariti serta peluang komersial.

Di sebalik keseronokan mencipta kandungan viral, ada juga risiko apabila tekanan untuk mengejar perhatian menyebabkan ramai memilih pendekatan sensasi dan kontroversi, sekali gus mengorbankan nilai etika dan tanggungjawab sosial.

Kuasa viral pada akhirnya mencerminkan realiti masyarakat yang semakin bergantung kepada teknologi komunikasi digital. Ia memberi peluang kepada suara kecil untuk didengar dengan lebih lantang, tetapi juga membuka ruang kepada manipulasi emosi dan fakta.

Justeru, tanggungjawab bukan sahaja terletak pada pencipta kandungan, tetapi juga kepada khalayak sebagai penerima. Dalam era maklumat tanpa sempadan ini, masyarakat harus dilatih dengan literasi media yang kukuh, agar mampu menilai antara kebenaran dan kepalsuan, antara agenda tersirat dan maklumat tulen.

Kuasa viral di media sosial adalah pedang bermata dua. Ia boleh menjadi pemangkin perubahan yang positif, namun pada masa sama membawa risiko besar jika disalahgunakan. Khalayak perlu sedar bahawa setiap “klik” dan “share” adalah tindakan yang memberi kesan bukan sahaja kepada individu yang terlibat, tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya. Dengan pendekatan beretika, literasi digital yang tinggi dan kesedaran kolektif, kuasa viral boleh dijadikan wahana yang membina, bukan sekadar gelombang yang merosakkan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest