Malam Anugerah Media Johor Raikan Keunggulan Kewartawanan Dan Pengamal Media Negeri

JOHOR BAHRU, 15 Oktober — Malam Anugerah Media Johor berlangsung penuh gemilang malam ini sebagai simbol penghargaan kepada wartawan dan pengamal media yang terus menunjukkan dedikasi dalam menyampaikan maklumat tepat, beretika dan berwibawa kepada rakyat negeri ini.

Majlis yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, menghimpunkan pengamal media dari pelbagai organisasi cetak, penyiaran dan digital dalam satu acara yang meraikan keunggulan karya kewartawanan dan laporan terbaik sepanjang tahun.

Dalam ucapannya, Dato’ Onn Hafiz menegaskan bahawa kekuatan Johor bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal, tetapi juga pada kepimpinan insan (human capital) yang berkualiti, termasuk dalam kalangan pengamal media. Beliau menyatakan bahawa wartawan dan pengamal media negeri perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kumpulan kepimpinan yang membina naratif kemajuan negeri.

“Kita perlukan kepimpinan dalam setiap bidang termasuk dalam kalangan pengamal media Johor. Mereka membentuk minda masyarakat, menyampaikan maklumat yang berimpak dan membantu rakyat memahami dasar kerajaan. Sebab itu, pelaburan terhadap modal insan media mesti diteruskan secara terancang dan bersasar,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, pembangunan negeri perlu digerakkan melalui tiga kumpulan utama iaitu antaranya pengamal media, institusi pendidikan dan anak muda. Pengamal media, katanya, berada dalam kategori pertama yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri untuk ditingkatkan kapasiti dan keupayaan mereka melalui program latihan, peningkatan kemahiran (upskilling) dan peluang pembangunan profesional yang setanding dengan pengamal media di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Kerajaan negeri sedia menyalurkan peruntukan yang bersasar bagi menyokong bengkel dan latihan kepada pengamal media Johor agar mereka dapat duduk sama tinggi dan berdiri sama hebat dengan rakan media di negara lain,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Fauzi Ishak, menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media yang terus komited melaksanakan tugas meskipun berdepan cabaran era digital dan keperluan liputan masa nyata.

“Anugerah ini bukan sekadar simbol kemenangan, tetapi pengiktirafan terhadap usaha gigih wartawan dalam mencari kebenaran dan menghasilkan laporan berimpak tinggi. Ia juga mencerminkan komitmen Johor untuk terus mengangkat martabat media profesional,” katanya.

Malam Anugerah Media Johor kali ini sekali lagi membuktikan bahawa profesion kewartawanan bukan sekadar kerjaya, tetapi satu amanah besar dalam membina minda dan masa depan negeri selain media sebagai tonggak kepimpinan insan dalam Johor yang terus maju.

Malaysian Press Institute (MPI) bertindak sebagai penyelaras dan penilai kepada Anugerah Media Johor ini. Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Hj Ainol Amriz Ismail dan Encik Salman Husni Abdollah, Pengurus (Anugerah) Projek Khas MPI.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest