MPI Bawa Pengalaman Penyiaran Sebenar ke Kampus USIM

Nilai, 4 November — Malaysian Press Institute (MPI) menyertai Minggu Bersama Industri 2025 anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung pada 4 dan 5 November 2025.

Penyertaan ini bertujuan memperkenalkan peranan MPI sebagai rakan industri strategik kepada pelajar-pelajar USIM, khususnya dalam bidang media dan komunikasi. Sepanjang program ini, MPI membuka reruai pameran yang mengetengahkan pelbagai inisiatif latihan dan pembangunan profesional dalam industri media.

Menariknya, MPI turut mengadakan aktiviti simulasi pelaporan dan pembacaan berita bagi memberi peluang kepada para pelajar merasai pengalaman sebenar dunia penyiaran dan lkewartawanan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail yang berkesempatan menghadiri forum bertajuk “Dari Kampus ke Dunia Profesional”. Forum tersebut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Harris, dan Penolong Pengarah Seksyen Digital RTM, Tuan Haji Mohd Fadli Othman yang juga merupakan alumni pertama Program Komunikasi USIM.

Dalam forum tersebut, para panel berkongsi pengalaman mereka meniti perjalanan karier dalam dunia penyiaran dan media, selain memberi pandangan tentang cabaran serta perubahan landskap industri yang semakin dipacu teknologi digital. Mereka turut menasihati pelajar agar memperkukuh kemahiran komunikasi dan beradaptasi dengan teknologi baharu supaya kekal relevan dalam pasaran kerja masa kini.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest