Ejen AI & Kepentingannya Untuk Kerja PRO

PORT DICKSON, 11 Okt 2025 — Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr Ainol Amriz Ismail, menegaskan keperluan mewujudkan “Ejen AI” atau unit kecerdasan buatan di setiap kementerian bagi memperkukuh fungsi perhubungan awam (PRO) dalam era PR4.0, seiring dengan tuntutan komunikasi digital dan pengurusan maklumat masa kini.

Menurut beliau, pembentukan ejen AI bukan sekadar langkah teknologi, tetapi satu keperluan strategik nasional untuk memastikan kementerian lebih bersedia menghadapi krisis komunikasi, perang maklumat serta keperluan menganalisis data awam secara pantas dan tepat.

“Kita kini berada dalam ekosistem maklumat yang bergerak sepantas algoritma. Dalam suasana begini, setiap kementerian mesti mempunyai ejen AI yang berfungsi sebagai radar reputasi: mengesan, menilai dan menasihati pasukan komunikasi sebelum isu kecil menjadi krisis besar,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “PR4.0 – Transformasi Digital, AI dan Analisis Data Besar untuk Pegawai Perhubungan Awam” pada program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) di Port Dickson hari ini.

Kursus “LEADING PUBLIC RELATIONS IN THE DIGITAL AGE”, berkenaan menghimpunkan pegawai perhubungan awam pelbagai kementerian bagi memperkukuh kemahiran komunikasi strategik dan keupayaan mengurus persepsi awam.

Dr Ainol menjelaskan, Ejen AI kementerian harus berperanan sebagai pusat analitik yang:
1. Memantau sentimen awam dan media sosial secara masa nyata;
2. Mengenal pasti naratif tular yang boleh menjejaskan reputasi kerajaan;
3. Membantu PRO menyediakan respons berfakta dan segera;
4. Menganalisis data besar (Big Data) bagi menilai keberkesanan dasar komunikasi awam; serta
5. Melengkapkan data dalaman kementerian untuk menjadi rujukan automatik kepada sistem pencarian awam yang membolehkan jawapan dan keputusan diberikan secara segera apabila sesuatu isu timbul.

“AI bukan menggantikan peranan manusia, sebaliknya memperkukuh kecekapan dan ketepatan tindakan PRO. Ia menjadi pembantu strategik dalam membuat keputusan komunikasi berdasarkan bukti dan bukan andaian,” tambah beliau.

Beliau turut berkongsi beberapa kajian kes sebenar mengenai bagaimana tindakan PRO yang menggunakan analisis data dan AI mampu menstabilkan situasi krisis serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap organisasi kerajaan.

Dr Ainol menegaskan, keupayaan menggunakan kecerdasan buatan kini menjadi teras baharu kompetensi komunikasi sektor awam, sejajar dengan agenda pendigitalan kerajaan dan aspirasi Malaysia MADANI.

“Apabila kementerian mempunyai ejen AI sendiri, ia bukan sahaja membantu mengenal pasti risiko maklumat palsu, tetapi juga membolehkan kementerian memahami nadi rakyat. Dengan data dalaman yang lengkap dan sistem AI yang responsif, kementerian mampu memberi jawapan segera dan berasaskan fakta kepada pertanyaan awam,” katanya.

Beliau menutup sesi dengan menyeru agar setiap PRO mengambil langkah proaktif membina kemahiran teknologi, bekerjasama dengan agensi data kerajaan dan memastikan komunikasi awam Malaysia kekal berwibawa di tengah gelombang digital.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest