MPI dan IKIM Jalin Kerjasama Strategik Perkukuh Media Islam

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2025 — Malaysian Press Institute (MPI) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Ibu Pejabat IKIM, Kuala Lumpur bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam bidang kewartawanan, penyiaran dan penyelidikan.

Delegasi MPI diketuai oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ahli Majlis Pentadbir, Encik Azri Atan, serta wakil sekretariat Norfatin Syahira Jusoh dan Muhammad Asyraf Rosmidi.

Ketibaan delegasi MPI disambut mesra oleh Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Pengarah Pusat Media IKIM, Tn. Hj. Ahmad Fuad Mat Ali, serta barisan pengurus daripada Pusat Media IKIM.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai bentuk kolaborasi yang berpotensi dilaksanakan bersama. Antara yang diberi tumpuan ialah menjadikan IKIM sebagai rakan strategik MPI dalam memperkukuh jaringan profesional antara institusi media dan penyiaran Islam di Malaysia. MPI turut menggalakkan penyertaan IKIM dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–PETRONAS, sebagai pengiktirafan kepada hasil kerja dan kandungan media yang menonjolkan nilai integriti serta komunikasi beretika.

Selain itu, perbincangan turut membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan media Islam. MPI dan IKIM juga bersetuju untuk meneroka program latihan, pertukaran ilmu, dan inisiatif bersama yang boleh memperkukuh keupayaan tenaga profesional dalam industri media negara.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan MPI dalam memperluas jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi, sejajar dengan usaha mempertingkat profesionalisme dan etika kewartawanan di Malaysia.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest