Cyberjaya, 10 September 2025 – Kunjungan hormat delegasi Malaysian Press Institute (MPI) ke Menara Prasarana, Petaling Jaya semalam membuka ruang perbincangan menyeluruh mengenai potensi kerjasama strategik antara MPI dan Prasarana Malaysia Berhad. Inisiatif ini dijangka memperkukuh hubungan media dengan sektor pengurusan infrastruktur, khususnya dalam industri pengangkutan awam negara.
Hubungan baik antara MPI dan Prasarana sebelum ini lebih tertumpu kepada sumbangan penajaan Prasarana dalam menjayakan sambutan Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI setiap tahun. Namun demikian, pertemuan kali ini memberi dimensi baharu dengan cadangan memperkasakan Jabatan Komunikasi Korporat Prasarana serta mempererat hubungan bersama media melalui penganjuran pelbagai kursus dan acara. Antara program yang dicadangkan termasuk Kursus Jurucakap Berkesan, Kursus Literasi Infrastruktur, majlis ramah mesra bersama editor serta penganugerahan media.
Delegasi MPI diwakili oleh Dr. Nuzatul Shima Sulaiman bersama Puan Norhafiza Kamaludin dari Unit Pengurusan Projek serta En. Salman Husni Abdollah dari Unit Projek Khas. Kehadiran mereka disambut mesra oleh pasukan Komunikasi Kumpulan Prasarana yang diketuai oleh En. Adli Abdul Karim, Executive Vice President , dan Puan Tengku Azrawati Tengku Arshad, Senior Vice President . Turut hadir beberapa eksekutif kanan Komunikasi Korporat, antaranya Puan Adilah Husna Ibrahim, En. Mohd Sofian Hilmi, En. Muhamad Din Hasanuddin serta Cik Emily Lee Lay Koon.






