MELAKA, 8 Oktober 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr Hj Ainol Amriz Ismail, meluangkan masa melakukan lawatan santai ke pejabat Melaka Hari Ini (MHI) pada 8 Oktober 2025 bagi meninjau sendiri perjalanan operasi harian organisasi media rasmi kerajaan negeri itu.
Ketibaan Dr Ainol disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini, Haji Nasharuddin Muhammad, yang turut memberi penerangan ringkas mengenai fungsi dan peranan MHI dalam ekosistem komunikasi kerajaan negeri. Beliau turut berkongsi maklumat tentang pelbagai segmen operasi, termasuk pengurusan bilik berita, penerbitan bercetak, platform digital serta studio web TV dan podcast yang menjadi antara nadi utama penghasilan kandungan mereka.
MHI kini menampilkan pendekatan media bersepadu yang menggabungkan kekuatan berita bercetak, portal dalam talian dan kandungan digital interaktif. Keupayaan ini membolehkan MHI menjadi antara organisasi media negeri yang paling berpengaruh di selatan tanah air, dengan liputan menyeluruh dan gaya penyampaian yang profesional.
Dalam tinjauan tersebut, Dr Ainol berpeluang melihat sendiri kemudahan operasi seperti studio web TV, ruang podcast, bilik penyuntingan berita dan studio fotografi, yang memperlihatkan tahap kematangan organisasi ini dalam menyesuaikan diri dengan kehendak dunia media moden.
Menurut beliau, Melaka Hari Ini menunjukkan contoh positif tentang bagaimana sebuah media negeri mampu bergerak seiring dengan arus digitalisasi, sambil mengekalkan nilai profesionalisme dan tanggungjawab sosial dalam setiap laporan. “MHI membuktikan bahawa kewartawanan beretika dan kandungan digital boleh bergerak seiring. Ini satu model pembangunan media negeri yang wajar dihargai,” ujarnya.
Dr Ainol turut menyampaikan penghargaan dan tahniah kepada Haji Nasharuddin serta seluruh warga kerja MHI atas semangat dan dedikasi mereka dalam memperkukuh budaya kerja profesional, meskipun beroperasi dengan pasukan yang sederhana dari segi bilangan, namun tinggi kecekapan dan semangat.
Lawatan tersebut berakhir dengan perbincangan awal merangka bentuk latihan yang akan memberi manfaat kepada pasukan editorial Melaka Hari Ini, khususnya dalam memperkukuh kemahiran kewartawanan digital dan pengurusan kandungan pelbagai platform pada masa hadapan.
