Siaran Media MWM 2025, 19 Jun 2025

DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY TETAMU KEHORMAT MWM 2025, MPI LANCAR E-JURNAL KEWARTAWANAN

CYBERJAYA, 19 JUN 2025
: Hampir 1,000 tetamu terdiri daripada Tokoh Wartawan, Pengarang Kanan, wartawan, pengamal media dan rakan korporat mengesahkan kehadiran pada Malam Wartawan Malaysia 2025 / Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 MPI-PETRONAS pada 20 Jun 2025 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Haji Ainol Amriz Ismail berkata, kemuncak anugerah dan sambutan ini turut dihadiri tetamu kehormat, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, serta pengurusan kanan PETRONAS selaku penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024.

“Majlis yang diadakan pada tahun ini diberi nilai tambah dengan MPI mengadakan pameran di laluan utama menuju dewan acara. Pameran itu memaparkan sejarah MPI dan Hadiah Kewartawanan Malaysia untuk mengimbau kembali detik sejarah dan peranan MPI menjulang karya wartawan,’’ katanya di sini, hari ini.

Ainol Amriz yang juga Pengerusi Bersama majlis itu memberitahu, selain menyaksikan wartawan dan pengamal media dinobatkan sebagai pemenang bagi 23 kategori yang dipertandingkan, ia juga akan menyaksikan pelancaran e-Jurnal Kewartawanan Malaysian Press Institute oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi yang pertama kali diterbitkan oleh institusi ini.

“Penerbitan e-Jurnal ini merupakan satu lagi usaha MPI dalam memperkasakan penulisan ilmiah dalam kalangan wartawan terutama dalam aspek kajian berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi,’’ ujarnya.

Bagi anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2024, semua pemenang emas akan membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai, sementara pemenang perak dan gangsa akan membawa pulang sijil dan wang tunai. Hadiah ini merupakan tajaan PETRONAS dengan nilaian keseluruhannya RM450,000.

Pada tahun ini, MPI menerima sebanyak 549 penyertaan daripada 58 organisasi media dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak, membuktikan peningkatan kesungguhan serta minat terhadap penghasilan karya kewartawanan berkualiti tinggi dan berimpak besar.  Sementara itu, MPI turut menerima pencalonan bagi  tiga kategori yang mengiktiraf sumbangan wartawan sepanjang kerjaya.

Pada majlis itu juga MPI mengadakan kempen menyokong wartawan berintegriti dan beretika dengan menurunkan tandatangan pada paparan kanvas yang disediakan.

“Saya mengalu-alukan semua yang hadir bersama-sama menyokong kempen ini dan menurunkan tandatangan masing-masing sebelum memasuki dewan acara. Kita bersolidariti dalam menyokong wartawan berintegriti dan beretika,’’ kata Ainol Amriz.

Selain pengisian yang diadakan pada Malam Wartawan Malaysia itu, MPI turut menjemput artis yang menghiburkan tetamu terdiri daripada ikon muzik tradisional ‘SAPE’, Anderson Kalang, Black Hanifah dan Ernie Zakri.

Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi MPI di platform Facebook dan TikTok.

Keputusan pemenang akan dipaparkan mengikut segmen penyampaian anugerah selepas diumumkan secara rasmi pada malam tersebut.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest