Ucapan Perasmian Malam Wartawan Malaysia 2025 | YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir

UCAPAN PERASMIAN
YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA SEMPENA MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2025 & HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA (HKM) 2024

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillah, pada malam yang bersejarah ini kita dipertemukan dalam Malam Wartawan Malaysia 2025, acara gilang-gemilang anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dengan sokongan penaja utama PETRONAS. Saya berdiri di sini dengan berbaur rasa bangga, namun terasa kerdil diri. Menghadap para tokoh persuratan, wartawan, editor, jurnalis dan pengamal media yang dihormati sekalian. Ternyata yang kita raikan bukan hanya pencapaian cemerlang kewartawanan, namun memercik nyala rasa semangat baharu dalam dunia persuratan dan media tanah air.

    Terbang tinggi camar di awan,
    Meniti angin samudera raya;
    Kalam nan tajam suluh kebenaran,
    Memimpin bangsa ke mercu jaya.

    Pena dan lensa saudara-saudari ibarat obor yang menerangi jalan demokrasi, menuntun masyarakat keluar daripada kegelapan penindasan dan belenggu kejahilan. Sebagaimana ungkapan José Martí, “Only oppression should fear the full exercise of freedom” – hanya kezaliman yang perlu gentar apabila kebebasan diamalkan sepenuhnya. Maka, kebebasan media yang beretika bukanlah ancaman kepada negara, sebaliknya benteng nurani masyarakat yang menghalang kezaliman.

    Hadirin yang dihormati,

    Cabaran dan Peranan Jurnalisme Era Digital

    Kita kini berada dalam era jurnalisme moden yang serba mencabar. Revolusi digital telah mengubah lanskap media dengan pantas – berita bergerak sepantas detik di hujung jari, algoritma media sosial menentukan tatapan harian, dan kecerdasan buatan (AI) mula memasuki ruang berita.

    Di satu sudut, transformasi digital ini membawa peluang luar biasa: platform baharu untuk penyampaian berita, analitik data untuk memahami audiens, dan AI untuk membantu kerja rutin wartawan. Namun di sudut lain, ia turut membawa cabaran getir yang perlu kita renungi bersama.

    Antara cabaran semasa yang utama dan ‘pratama’ adalah fenomena “filter bubble” – dunia di mana pembaca terkurung dalam gelembung maklumat sehala, hanya mendengar gema perspektif sendiri. Algoritma digital cenderung menyajikan kandungan yang “ingin kita lihat”, bukan semestinya yang “perlu kita lihat”.

    Akibatnya, wujud risiko polarisasi dan leka dengan satu sisi cerita. Seperti diungkapkan dalam satu kajian, “filter bubbles and echo chambers damage the media as a credible public communication channel”.

    Apabila audien terperangkap dalam gelembung ini, fungsi wartawan sebagai pembentang seluruh kebenaran menjadi kian mencabar. Kita bertanggungjawab memecahkan dinding-dinding gema ini dengan kewartawanan yang inklusif dan berimbang, memastikan suara minoriti tidak tersisih dan fakta tidak dimanipulasi.

    Selain itu, muncul persoalan etika dan integriti di tengah arus digital. Dalam zaman pasca-normal (post-normal age) dan era pasca- kebenaran (post-truth era), berita palsu mudah tersebar, teori konspirasi pula menjalar di ranah yang subur, dan kepercayaan publik terhadap media tercabar.

    Di sinilah wartawan moden mesti kembali kepada asas – berpegang teguh pada kebenaran dan tanggungjawab sosial. Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang utama dalam masyarakat yang berinformasi. Peranan wartawan sebagai pemegang amanah yang mengendong maklumat makin penting untuk menapis fakta daripada kepalsuan, melapor dengan saksama, dan menegakkan prinsip “berkata benar walau pahit”.

    Sahabat-sahabat yang bijaksana sekalian,

    Wartawan sebagai Penjaga Nurani Demokrasi

    Sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan minda dan keluhuran maklumat adalah tunjang kepada kemajuan sesebuah tamadun. Wartawan bukan sekadar pelapor peristiwa, malah merupakan “penjaga nurani demokrasi” – pengawal hati nurani masyarakat yang sentiasa bergejolak dengan pertanyaan penuh rasa ingin tahu: “Apa yang benar? Apa yang adil?”.

    Tokoh pemikir dan failasuf, Albert Camus, mengingatkan kita: “A free press can of course be good or bad, but most certainly without freedom, the press will never be anything but bad.” – Akhbar bebas tentu saja boleh menjadi baik atau buruk, tetapi tanpa kebebasan ia pasti akan menjadi buruk belaka. Pesan Camus ini menegaskan betapa kebebasan media adalah prasyarat kepada media yang berintegriti. Tanpa kebebasan, “wartawan kehilangan jiwa”, dan “khalayak kehilangan suara”.

    Demikian juga jurnalis, wartawan dan penulis tersohor Cuba, José Martí, menegaskan hakikat kebebasan sebagai nyawa kepada kejujuran: “Liberty is the right of every man to be honest, to think and to speak without hypocrisy” – Kebebasan adalah hak setiap insan untuk berlaku jujur, berfikir dan bersuara tanpa kemunafikan.

    Di dalam konteks kewartawanan, erti kata Martí ini menggariskan bahawa kebebasan akhbar menjamin wartawan dapat berkata benar dengan  tulus,  tanpa  takut  atau  berpura-pura.  Hanya dengan kebebasan dan kejujuran beginilah demokrasi dapat berfungsi dengan sihat, kerana maklumat yang diterima rakyat adalah sahih lagi telus.

    Seorang lagi tokoh, Walter Lippmann, ahli kewartawanan Amerika, turut memberikan perspektif mendalam tentang peranan media dan pres dalam masyarakat. Lippmann menyatakan “A free press is not a privilege but an organic necessity in a great society” – Kebebasan akhbar bukan satu keistimewaan, tetapi satu keperluan asasi dalam masyarakat yang unggul.

    Tanpa laporan yang bebas dan berwibawa, demokrasi akan tempang kerana kerajaan tidak dapat memperoleh gambaran sebenar hasrat dan suara rakyat. Malah, kata Lippmann lagi, “Without criticism and reliable reporting, the government cannot govern”. Dalam erti kata lain, wartawanlah yang menjadi mata dan telinga rakyat, menyampaikan kritikan membina dan melapor secara jujur, agar pemimpin dapat membuat keputusan berasaskan realiti dan suara rakyat terbanyak.

    Maka, dalam negara kita yang mengamalkan prinsip Malaysia Madani, kewartawanan beretika dan bebas perlu terus diperkasakan. Wartawan adalah sahabat kepada kebenaran dan musuh kepada penindasan. Tugas kita bukan untuk menggembirakan pemerintah atau memburukkan mereka, tetapi menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dengan fakta dan hujah.

    Wartawan ibarat cermin buat masyarakat – menunjukkan wajah sebenar bangsa, dengan segala yang indah mahupun celanya, supaya kita boleh memperbaiki diri. Inilah idealisme kewartawanan sebagai teras demokrasi dan pembangunan bangsa: berani kerana benar, tegas kerana ikhlas.

      Hadirin yang saya hormati,

      Kepimpinan dan Leadershift dalam Dunia Kewartawanan

      Di sebalik pena dan kamera, wartawan juga adalah “thought leader” dalam masyarakat. Setiap berita yang ditulis, setiap komentar yang disiarkan, mampu mempengaruhi hala tuju masyarakat. Oleh itu, menyentuh tentang kepimpinan dalam kewartawanan, barangkali dapat kita mengambil ibrah daripada prinsip “Leadershift” yang digagaskan oleh John C. Maxwell, seorang pakar kepemimpinan tersohor.

      Maxwell memperkenalkan “11 perubahan penting” yang harus dilalui oleh setiap pemimpin untuk kekal relevan dan efektif dalam dunia yang berubah pantas. Menariknya, kesemua “eleven leadershift” ini amat bertepatan dengan dunia kewartawanan masa kini.

        Antara perubahan tersebut, Maxwell menggariskan peralihan daripada “Soloist to Conductor” – dari pendekatan bersendiri kepada kerjasama sebagai satu orkestra. Dalam konteks bilik berita, ini bererti wartawan tidak boleh lagi bekerja secara silo. Era digital menuntut kolaborasi: wartawan lapangan bekerjasama dengan penganalisis data, jurufoto dengan pereka grafik, dan editor dengan pakar media sosial. Hanya dengan semangat berpasukan dan perkongsian kepakaran, organisasi media dapat menghasilkan laporan yang komprehensif dan menarik dalam dunia serba multimedia.

        Maxwell juga menyeru pemimpin beralih daripada “Goals to Growth” – daripada sekadar mengejar sasaran jangka pendek kepada mengutamakan pembangunan diri dan pasukan. Bagi wartawan, ini bermakna kita tidak cukup hanya berpuas hati memenuhi quota berita atau menghantar artikel tepat waktu. Kita mesti sentiasa haus akan ilmu dan kemahiran baharu. Pelajari teknologi pemberitaan terkini, fahami isu kompleks dengan mendalam, asah kemahiran bahasa dan penulisan saban hari. Dengan menjadi wartawan yang terus berkembang, kita mampu kekal relevan walau masa berubah.

        Seterusnya, Maxwell berbicara soal anjakan daripada “Pleasing People to Challenging People”. Dalam kepimpinan, pemimpin hebat bukan sekadar membuat orang bawahannya selesa, tetapi mencabar mereka mencapai potensi tertinggi. Demikian juga dalam kewartawanan – tugas wartawan bukan untuk menyedapkan halwa telinga masyarakat sahaja, tetapi kadangkala menyampaikan kebenaran yang pahit demi kebaikan bersama.

        Wartawan berperanan mencabar minda pembaca untuk berfikir, mendorong wacana kritis, dan menggerakkan tindakan. Seperti kata John C. Maxwell, “You have to put doing what’s right ahead of what feels right” – kita mesti mengutamakan melakukan yang benar berbanding sekadar menyenangkan hati semua pihak.

        Dalam hal integriti pula, Maxwell menekankan perubahan daripada “Positional Authority to Moral Authority”. Pengaruh melalui kuasa moral inilah yang paling relevan buat wartawan. Wartawan mungkin tiada jawatan tinggi dalam hierarki kerajaan atau syarikat, tetapi integriti, keberanian dan konsistensi prinsip menjadikan suara wartawan disegani dan dipercayai.

        Orang ramai akan lebih terpengaruh dengan wartawan yang berpegang pada kebenaran dan keadilan (moral authority) berbanding mereka yang hanya bersandar pada nama besar organisasi (positional authority). Seperti dinyatakan Maxwell, pemimpin yang mempunyai kuasa moral dibina melalui kompetensi, keberanian, ketekalan dan watak (character). Begitu jugalah wartawan: kompetensi dalam bidangnya, keberanian menulis kebenaran, ketekalan melapor tanpa bias, dan akhlak yang tidak boleh dijual beli – semua ini melahirkan wibawa moral yang akan dihormati masyarakat.

        Akhir sekali, falsafah Maxwell yang amat menyentuh dhamir kita adalah anjakan daripada “Career to Calling” – daripada menganggap pekerjaan sebagai kerjaya semata-mata kepada menjadikannya satu panggilan jiwa atau “misi suci”. Ia harus menjadi suatu panggilan jiwa, jati diri yang mendarah daging dalam sanubari kita? Maxwell mengingatkan bahawa apabila seseorang menemui panggilan hidupnya, dia tidak lagi meletakkan dirinya di pusat segala-galanya, sebaliknya menjadi saluran untuk kebaikan mengalir kepada orang lain.

        Seorang wartawan yang melihat profesionnya sebagai calling akan bekerja dengan sepenuh hati dan nurani, mengutamakan kebenaran dan kepentingan awam melebihi keuntungan peribadi. Inilah wartawan yang akan meninggalkan legasi bermakna – wartawan yang menulis bukan dengan dakwat di kertas semata, tetapi dengan nurani di kalbu masyarakat.

        Memartabatkan Etika: Peranan MPI, Penaja dan Pendidikan Tinggi

        Para hadirin, dalam memastikan kewartawanan terus menjadi wadah kebenaran, etika haruslah menjadi landasan utuh. Di sinilah peranan institusi seperti MPI (Malaysian Press Institute) dan juga sokongan pelbagai pihak amat dihargai.

        Majlis yang berlangsung pada malam ini sendiri adalah bukti komitmen bersama untuk memartabatkan kewartawanan beretika dan unggul di negara kita. MPI sejak sekian lama memainkan peranan sebagai pemangkin kecemerlangan kewartawanan – melalui penganjuran anugerah seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM), latihan profesional, forum wacana, dan penerbitan ilmiah.

        Saya juga sekali lagi merakamkan penghargaan kepada para penaja, terutamanya PETRONAS selaku penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia tahun ini. Komitmen PETRONAS melalui tajaannya yang pasti membawa makna besar – ia bukan sekadar angka ringgit, tetapi lambang keyakinan sektor korporat terhadap nilai kewartawanan yang berkualiti. Terima kasih PETRONAS, dan terima kasih juga kepada semua rakan penaja lain serta penyumbang yang budiman. Sesungguhnya, sokongan anda adalah dorongan buat para wartawan untuk terus berkarya dengan penuh dedikasi.

        MPI juga telah mengambil inisiatif inovatif dengan melancarkan Jurnal E-Kewartawanan MPI yang pertama. E-Jurnal ini melambangkan jalinan antara dunia praktis media dengan dunia akademia – satu usaha murni untuk memberdaya penulisan akademik dalam kalangan wartawan dan menggalakkan kajian dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi.

        Langkah ini tepat pada masanya, kerana pendidikan tinggi mempunyai peranan strategik dalam memartabatkan kewartawanan beretika. Universiti dan kolej harus melahirkan graduan kewartawanan yang bukan sahaja cekap menulis berita, tetapi kritis berfikir, tinggi etika, dan faham falsafah disebalik tugas wartawan.

        Di samping itu, kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan organisasi media – melalui penyelidikan bersama, program latihan industri, atau kolokium etika – patut dipergiat. Peranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya terajui adalah memastikan kurikulum komunikasi dan kewartawanan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, termasuklah elemen AI, analitik data, undang- undang siber, dan etika profesyen. Kita mahu melahirkan wartawan berilmu dan berintegriti, kerana hanya dengan itulah kewartawanan dapat terus menjadi profesyen mulia yang dipercayai rakyat.

        Usaha memartabatkan etika ini juga disokong oleh inisiatif seperti Kempen Tandatangan Sokongan Integriti Media. Saya difahamkan tetamu semua telah memberi sokongan padu dengan menurunkan tandatangan sebagai ikrar bersama untuk menjunjung tinggi integriti media.

        Syabas saya ucapkan kepada MPI atas usaha simbolik namun signifikan ini. Ia mengingatkan kita bahawa etika adalah tiang seri kewartawanan. Tanpa etika, bak kata hukama, kemerdekaan media dan pres boleh bertukar menjadi anarki maklumat. Maka, marilah kita bersama-sama berdiri teguh atas paksi kebenaran. Prinsip kita jelas: melaporkan dengan jujur, menulis dengan bertanggungjawab, dan berkhidmat demi masyarakat.

        Khatimah

        Menjelang akhir bicara ini, marilah kita renungkan sejenak intipati perjalanan kita malam ini. Malam Wartawan Malaysia 2025 bukan sekadar satu acara penyampaian hadiah; ia adalah simbol harapan dan tekad kita semua untuk masa depan kewartawanan yang lebih gemilang. Dalam dewan ini hadir insan-insan yang setiap hari berjuang dengan pena, kamera dan suara – mengabdikan diri demi memastikan kebenaran sampai kepada rakyat. Kalianlah wira tidak didendang negara bangsa.

        Saya teringat kata-kata seorang filosof: “Pen is mightier than the sword” – pena itu lebih tajam daripada pedang. Pedang mungkin bisa menakluk wilayah, tetapi pena wartawan menakluk hati nurani manusia. Dengan tinta kebenaran, wartawan membentuk pemikiran generasi, menyemai benih kefahaman dan perpaduan, serta menggugah hati nurani untuk menolak kebatilan. Inilah kuasa nurani seorang wartawan yang berintegriti.

        Mengakhiri ucapan, izinkan saya memetik mutiara kata John C. Maxwell: “Change is inevitable. Growth is optional.” Perubahan itu lumrah, pertumbuhan itu sebuah pilihan. Dunia kewartawanan pasti akan terus berubah – dengan teknologi baharu, platform baharu, dan cabaran baharu saban hari. Namun, pertumbuhan profesional dan peribadi kita sebagai wartawan adalah pilihan kita sendiri. Pilihan untuk kekal teguh pada idealisme walau badai melanda. Pilihan untuk terus belajar dan memperbaiki diri walau usia kian senja. Pilihan untuk mengutamakan kebenaran dan nurani walau godaan datang merintangi.

        Saya menyeru kepada diri saya dan saudara-saudari sekalian: Marilah kita memilih pertumbuhan. Mari kita perkukuhkan jati diri sebagai wartawan yang berilmu, beradab, dan berjiwa besar. Wartawan yang puitis dalam menyusun kata, namun tegas dalam prinsipnya. Wartawan yang tinggi adabnya, namun tidak tunduk pada tekanan yang menindas kebenaran. Wartawan yang berfalsafah luas pandangan, namun tetap berpijak di bumi, memahami denyut nadi rakyat. Wartawan yang penuh nurani, menginsafi bahawa setiap berita yang ditulis mampu mengubah nasib insan.

        Sesungguhnya, wartawan adalah pencorak negara bangsa. Di tangan kalian tergenggam amanah rakyat untuk mengetahui kebenaran. Di pundak kalian terletak tanggungjawab memastikan demokrasi terus subur disirami informasi yang sahih lagi seimbang. Jangan gentar, jangan goyah. Teruskan perjuangan saudara-saudari dengan tekad bahawa kewartawanan ini adalah panggilan jiwa – satu ibadah dalam menyampaikan yang hak kepada yang berhak.

        Sebagai penutup, marilah kita sama-sama mengangkat martabat kewartawanan ke puncak yang lebih tinggi. Malam ini kita berikan penghormatan kepada para pemenang, namun esok hari perjuangan kita bersambung lagi. Pulanglah dengan api idealisme yang kian menyala. Bawalah obor kebenaran ini dan nyalakan di setiap pelusuk masyarakat. Mudah-mudahan, dengan izin Tuhan, usaha murni kita akan membuahkan Malaysia yang lebih makmur, adil dan berinformasi.

        Sekian, terima kasih. Tahniah sekali lagi kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024. Teruskan menulis dengan hati, berkhidmat dengan jati diri, dan ingatlah – suara anda adalah suara rakyat, nurani anda adalah nurani bangsa.

        Selamat maju jaya, dan wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

        TAMAT

        Share this post :

        Facebook
        Twitter
        LinkedIn
        Pinterest

        Create a new perspective on life

        Your Ads Here (365 x 270 area)
        Latest News
        Categories

        Subscribe our newsletter