Hadirin Sekalian,
Di sebalik cabaran ini, kita menyaksikan perkembangan menarik di era digital 2025. Generasi muda semakin aktif mengangkat bahasa Melayu di media sosial. Mereka menghasilkan kandungan dalam bentuk video pendek, siaran langsung, artikel blog dan `podcast’ yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Bahasa Melayu menjadi bahasa kreativiti yang membolehkan mahasiswa mengekspresikan diri, menyampaikan mesej, malah membina pengaruh. Media sosial yang dahulunya dianggap meminggirkan bahasa kebangsaan, kini menjadi ruang subur untuk bahasa itu kembali bercambah.
Fenomena lain yang wajar diberi perhatian ialah kecenderungan bangsa lain, khususnya golongan muda bukan Melayu, yang semakin aktif menggunakan bahasa Melayu dalam kandungan media sosial mereka. Mengapa ini berlaku? Pertama, kerana bahasa Melayu memberikan akses kepada khalayak lebih luas – penonton dari pelbagai latar belakang etnik di Malaysia lebih mudah didekati melalui bahasa kebangsaan. Kedua, kerana bahasa Melayu adalah bahasa pasaran – peniaga, pempengaruh dan penggiat kandungan menggunakan bahasa ini untuk membina keakraban dengan pelanggan dan pengikut. Ketiga, kerana bahasa Melayu kini dilihat sebagai bahasa identiti Malaysia yang mampu melangkaui sempadan kaum. Bila seorang pempengaruh bukan Melayu menggunakan bahasa Melayu dengan yakin, audiens melihatnya sebagai semangat kebersamaan nasional.
Media massa memikul tanggungjawab besar dalam memperkukuh fenomena ini. Media tradisional terus menjadi penjaga standard bahasa, manakala media digital membuka ruang kepada kreativiti generasi muda. Media perlu bertindak sebagai penghubung, memastikan bahasa Melayu bukan sahaja hidup dalam hiburan dan ekspresi popular, tetapi juga dalam ilmu, wacana, dan perbahasan kritikal. Peranan media juga amat penting dalam mengangkat isu-isu bahasa – daripada papan tanda salah ejaan, sehinggalah kempen nasional yang mengajak rakyat menghargai bahasa kebangsaan.
Maka isu sebenar yang membelenggu generasi muda hari ini ialah krisis penghayatan terhadap bahasa kebangsaan. Mereka tidak menolak bahasa Melayu, tetapi mereka tidak benar-benar menjiwainya. Mereka tidak menentang Perkara 152, tetapi mereka tidak merasakan keperluan untuk mempertahankannya. Mereka tidak kehilangan kemampuan berbahasa, tetapi mereka kehilangan rasa bangga dan cinta yang menjadi asas kepada kelangsungan sebuah bahasa kebangsaan.
Di sinilah kita perlu kembali mengingatkan generasi muda bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi. Ia adalah simbol perjuangan, asas identiti dan nadi penyatuan bangsa. Jika bahasa ini terus dipandang ringan, maka Perkara 152 akan luntur sedikit demi sedikit. Tetapi jika mereka sedar, menghayati dan berbangga menuturkan bahasa Melayu dengan betul, maka kedudukan bahasa ini akan terus kukuh. Ia bukan hanya kerana dijamin undang-undang, tetapi kerana dihidupkan oleh rakyatnya sendiri.
Sejarah menunjukkan media sentiasa konsisten. Pada era 1960-an dan 1970-an, stesen penyiaran negara mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dan pembangunan. Pada 1980-an dan 1990-an, akhbar dan majalah memperkayakan kosa kata moden, menghubungkan bahasa dengan sains, teknologi dan isu semasa. Menjelang era digital, portal berita Melayu membuktikan bahawa bahasa kebangsaan tetap relevan di ruang siber.
Kini, pada 2025, media sosial menjadi medan utama perjuangan bahasa dan peranan media arus perdana ialah menyokong, membimbing, serta memberi legitimasi kepada gelombang bahasa yang digerakkan anak muda. Jika kita meninjau pengalaman negara lain, kita dapati mereka berani mempertahankan bahasa kebangsaan mereka. Jepun tetap menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa ilmu meskipun mereka bersaing di peringkat global. Korea Selatan pula menjadikan bahasa Korea sebagai jenama budaya dunia melalui muzik, drama dan media digital. Perancis pula menggubal undang-undang untuk memastikan bahasa Perancis terus digunakan dalam iklan, dokumen rasmi dan penyiaran, meskipun ditekan oleh dominasi bahasa Inggeris.
Persoalannya, jika negara-negara ini mampu, mengapa Malaysia tidak berani memperkukuh bahasa Melayu dalam dunia akademik dan digital? Fenomena ini sebenarnya adalah penterjemahan praktikal Perkara 152 dalam dunia digital.
- Bahasa perpaduan
Apabila pempengaruh bukan Melayu menggunakan bahasa kebangsaan, mereka membina penghubung antara kaum. Penonton Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, semua boleh memahami mesej yang sama. Ini seiring dengan tujuan Perkara 152 yang menjadikan bahasa Melayu alat penyatuan rakyat. - Bahasa amalan seharian
Perkara 152 menetapkan kedudukan rasmi, tetapi media sosial membuktikan amalan sebenar. Apabila orang muda dari pelbagai kaum menonton dan meniru gaya bahasa pempengaruh bukan Melayu, bahasa kebangsaan bukan sahaja kekal rasmi tetapi hidup dalam amalan harian generasi baharu. - Bahasa kebangsaan dalam ruang digital
Undang-undang tidak mampu mengawal media sosial sepenuhnya. Namun apabila gaya dan pertumbuhan organik menunjukkan bahasa Melayu digunakan meluas, itu membuktikan kekuatan sebenar bahasa kebangsaan yang ia relevan, fleksibel dan diterima oleh semua.
CABARAN MASA KINI
Namun kita harus jujur. Hari ini, bahasa Melayu menghadapi beberapa cabaran besar. Pertama, dominasi bahasa Inggeris dalam teknologi, perniagaan dan pendidikan tinggi. Anak muda lebih selesa menulis tesis, kod komputer dan laporan kerja dalam bahasa Inggeris. Jika cara ini berterusan, bahasa kebangsaan akan dipinggirkan daripada bidang strategik.
Kedua, fenomena bahasa rojak dalam media sosial. Ungkapan campuran Melayu-Inggeris menjadi norma harian. Wartawan muda juga sering terbawa-bawa dengan gaya ini. Lama kelamaan, mutu bahasa baku akan merosot jika tiada kawalan.
Ketiga, orientasi komersial media yang menekankan keuntungan berbanding mutu bahasa. Demi klik dan tontonan, media sering mengabaikan gaya bahasa yang betul. Akibatnya, khalayak melihat bahasa Melayu sebagai bahasa “murahan” yang tidak menepati piawaian. Keempat, kurangnya bahan ilmu tinggi dalam bahasa Melayu di era digital. Banyak rujukan akademik, jurnal antarabangsa dan laporan saintifik hanya diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Bahasa kebangsaan kehilangan peluang untuk berkembang sebagai bahasa ilmu. Kita tidak menolak keperluan bahasa Inggeris. Dalam dunia ilmu dan perniagaan, penguasaan bahasa Inggeris adalah kelebihan. Tetapi, menolak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah satu bentuk kehilangan arah. Bahasa Melayu mampu mengungkapkan pemikiran kritis, menghuraikan teori dan menjelaskan sains moden. Ia hanya memerlukan keyakinan, dasar yang kukuh dan sokongan media untuk kembali subur di menara gading.
Apabila kita menilai kedudukan bahasa Melayu dalam kerangka Perkara 152, jelas bahawa bahasa bukan sekadar wahana komunikasi, tetapi sebuah institusi sosial yang membentuk makna kewarganegaraan. Bahasa Melayu telah diberi kedudukan rasmi dalam Perlembagaan sebagai simbol penyatuan, identiti nasional dan asas kontrak sosial negara bangsa Malaysia.
Namun, hakikat pelaksanaannya berhadapan dengan pelbagai cabaran yang membentuk dilema intelektual. Apakah sebuah peruntukan undang-undang sudah memadai untuk menjamin kelangsungan bahasa atau adakah bahasa itu sendiri perlu dihidupkan melalui amalan budaya, kesedaran generasi muda dan sokongan institusi?
Cabaran utama hari ini datang daripada arus globalisasi dan teknologi digital. Generasi muda hidup dalam dunia yang terbuka tanpa sempadan, di mana bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, mendominasi wacana ilmu, hiburan, perniagaan dan media sosial. Realiti ini melahirkan satu fenomena sosiolinguistik. Bbahasa Melayu kekal sebagai bahasa rasmi di ruang negara, tetapi semakin terpinggir dalam ruang intelektual dan komunikasi harian. IPT dan Media yang menjadi pusat pembinaan bahasa ilmu juga berdepan dilemma. Mahasiswa lebih selesa menggunakan sumber dalam bahasa asing dan ini sedikit demi sedikit melemahkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik berprestij.
Dari perspektif intelektual, ini menunjukkan berlakunya ketegangan antara status kedudukan bahasa di sisi perlembagaan dan dasar dengan penggunaan sebenar dalam masyarakat. Secara rasmi, status bahasa Melayu tidak pernah dipersoalkan. Namun dari sudut penggunaan, cabaran sikap, pilihan bahasa dan pembentukan identiti generasi muda telah mewujudkan jurang antara undang-undang dan realiti. Analisis ini penting kerana ia memperlihatkan bahawa peruntukan undang-undang tanpa penghayatan sosial hanya akan melahirkan simbolisme, bukan keberkesanan.
Selain itu, terdapat persoalan jati diri. Generasi muda sering terikat dengan dilema identiti. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada arus global, tetapi dalam masa yang sama memikul tanggungjawab terhadap warisan nasional. Jika mereka memilih untuk meminggirkan bahasa kebangsaan, mereka sebenarnya sedang menafikan sebahagian daripada identiti kolektif bangsa Malaysia. Bahasa adalah asas solidariti. Kehilangan penghayatan terhadap bahasa bermakna kehilangan salah satu asas penyatuan sosial yang telah diinstitusikan sejak merdeka.
Peranan media pula wajar dinilai secara kritikal. Media arus perdana dan media digital bukan sahaja memaparkan kandungan, tetapi membentuk norma bahasa. Jika media terlalu tunduk kepada logik pasaran yang menekankan hiburan, kepantasan dan gaya ringkas, bahasa kebangsaan akan menjadi bentuk yang longgar dan tidak bermartabat. Media, dalam erti kata lain, sedang memainkan peranan sebagai agen sosial yang menentukan apakah generasi muda melihat bahasa Melayu sebagai bahasa bernilai tinggi atau sekadar sebagai bahasa biasa yang boleh diabaikan.
Oleh itu, cabaran sebenar bukanlah mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu, tetapi bagaimana memastikan bahasa itu terus relevan, moden dan bermakna bagi generasi baharu. Saya ingin menegaskan, pemartabatan bahasa Melayu bukan tugas kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab semua pihak. Mahasiswa mesti berani menggunakan bahasa Melayu dalam forum dan penulisan akademik. IPT mesti membudayakan seminar, penerbitan dan wacana dalam bahasa kebangsaan. Media mesti menjadi pendidik, bukan hanya penyampai. Manakala masyarakat mesti memandang bahasa Melayu bukan sebagai bahasa kelas kedua, tetapi sebagai bahasa masa depan.