Kebenaran kini hidup dalam zaman yang sukar. Ia tidak lagi berdiri di atas landasan pasti, tetapi berlegar di antara tafsiran, persepsi dan algoritma. Dalam dunia pasca-kepercayaan, masyarakat bukan lagi mencari kebenaran, tetapi memilih kebenaran yang paling sesuai dengan emosi mereka.
Inilah cabaran paling besar kepada kewartawanan moden iaitu bagaimana menegakkan kebenaran di tengah-tengah dunia yang menolak kebenaran, meragui pihak berautoriti dan menyanjung suara yang paling lantang walaupun tanpa bukti.
Menegakkan kebenaran pada masa ini bukan lagi soal memetik sumber rasmi atau mengutip kenyataan Menteri. Sebaliknya, ia soal keberanian moral untuk berkata benar ketika kebenaran itu tidak digemari. Dalam suasana politik dan sosial yang semakin celaru, wartawan belajar aspek antara tanggungjawab dan risiko.
Dunia digital mempercepatkan segala-galanya: berita, reaksi dan kecaman, tetapi memperlahankan kebijaksanaan. Ketika semua orang mahu bercakap, tugas wartawan adalah untuk memastikan bahawa yang benar tetap didengari.
Kewartawanan yang berani tidak bermakna melawan semata-mata. Ia bermaksud bersikap setia kepada fakta walaupun fakta itu tidak memihak kepada sesiapa. Wartawan yang menulis dengan niat yang bersih tidak berpihak kepada individu atau parti, tetapi berpihak kepada masyarakat yang berhak tahu. Keberanian dalam kewartawanan bukan datang daripada kekasaran kata, tetapi daripada keteguhan prinsip. Dalam ruang awam yang penuh dengan manipulasi maklumat, kebenaran menjadi bentuk keberanian yang paling sunyi , tiada tepukan, tiada ganjaran segera, tetapi ia tetap menjadi cahaya yang menerangi ruang gelap pembohongan.
Namun, untuk menegakkan kebenaran, media mesti terlebih dahulu menegakkan kejujuran dalam dirinya. Tidak ada kewartawanan yang bebas tanpa keinsafan terhadap keterikatan kuasa dan kepentingan. Wartawan perlu sedar bahawa tujuan utama bukan bermakna bersikap kosong daripada nilai, tetapi berpegang kepada nilai kebenaran yang sejagat. Fokusnya bukan kemuraman moral, tetapi kesetiaan kepada bukti dan keseimbangan. Dalam konteks ini, integriti menjadi perisai utama. Wartawan yang tidak jujur kepada dirinya tidak mungkin jujur kepada khalayak.
Era pasca-kepercayaan juga menuntut pendekatan baharu dalam mendidik masyarakat memahami kebenaran. Kebenaran hari ini bukan lagi disampaikan, tetapi dibina secara kolektif. Khalayak bukan sekadar penerima maklumat, tetapi peserta dalam wacana kebenaran. Oleh itu, media perlu melibatkan masyarakat dalam proses pemahaman, memberi ruang kepada pelbagai suara, tetapi memandu mereka dengan garis etika dan bukti. Kewartawanan yang inklusif tidak bermakna tunduk kepada soal untuk popular, tetapi menghormati kecerdasan moral khalayak dengan menjelaskan kerumitan situasi, bukan menyederhanakannya untuk kesenangan.
Dalam dunia yang dikuasai oleh algoritma dan kecerdasan buatan, tugas wartawan menjadi semakin mencabar. Teknologi kini mampu meniru suara manusia, mencipta wajah palsu dan menulis berita yang kelihatan benar tetapi tidak pernah berlaku. Kebenaran menjadi semakin sukar dibezakan daripada kepalsuan yang sempurna. Di sinilah peranan manusia menjadi semakin penting. Mesin boleh menghasilkan maklumat, tetapi hanya manusia yang berprinsip mampu menilai makna. Wartawan masa depan bukan sekadar perlu celik teknologi, tetapi juga celik nurani. Mereka perlu faham bahawa teknologi hanyalah alat, bagaimanapun kebenaran masih memerlukan keberanian dan akal budi.
Dalam keadaan ini, fungsi media bukan sekadar memberi maklumat, tetapi menjadi benteng moral masyarakat. Apabila fakta diserang dan kebenaran diragukan, media perlu menjadi ruang yang memulihkan kepercayaan terhadap rasionaliti dan empati. Laporan berita mesti menjadi medan pemulihan akal, bukan menambah kekeliruan, tetapi menenangkan kekalutan. Wartawan perlu menjadi suara yang tidak terjebak dengan gelombang kebencian, tetapi tetap teguh membawa pandangan yang berimbang dan beradab. Dalam erti kata lain, menegakkan kebenaran hari ini bermakna mempertahankan tamadun komunikasi manusia daripada terjerumus ke dalam keganasan digital.
Dalam era pasca-kepercayaan, media tidak boleh lagi hanya bergantung pada gelaran arus perdana untuk memegang pengaruh. Ia perlu menjadi arus kebenaran dengan mengalir merentas sempadan politik, ideologi dan kepentingan peribadi. Setiap berita yang disiarkan mesti lahir daripada rasa tanggungjawab yang tulen untuk memperbaiki kefahaman, bukan untuk mengukuhkan kedudukan. Dalam dunia yang semakin terpecah, media mesti menjadi penghubung yang berkesan, bukan tembok. Kebenaran tidak memihak, tetapi ia menyatukan.
Menegakkan kebenaran juga menuntut empati. Wartawan perlu memahami bahawa setiap isu yang dilaporkan bukan sekadar fakta, tetapi kehidupan manusia sebenar di sebaliknya. Kewartawanan yang tidak berperasaan akan melahirkan masyarakat yang tidak berperasaan. Oleh itu, menulis dengan hati bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan. Empati menjadikan kebenaran lebih hidup, lebih difahami dan lebih berkesan dalam menyentuh kesedaran khalayak. Apabila wartawan menulis dengan keberanian dan keinsafan, apabila media bertindak dengan integriti dan empati, maka kewartawanan akan kembali menjadi benteng terakhir akal budi bangsa.



