Akhir bulan September ini, sebuah perjalanan intelektual akan bermula. Wajah-wajah baharu akan memasuki kampus dengan penuh harapan, memilih bidang media dan komunikasi sebagai laluan perjuangan ilmu. Pilihan ini bukan sembarangan. Mereka yang melangkah ke dalam bidang ini sedang memilih untuk menjadi saksi, pencerita, penggerak dan pengawal maklumat dalam dunia yang kian bergolak dengan perubahan teknologi.
Bidang media dan komunikasi hari ini tidak lagi berdiri atas landasan tradisional semata-mata. Ia kini bernafas dalam era penggabungan media, di mana sempadan antara kewartawanan, perhubungan awam, pemasaran, hiburan dan aktivisme semakin cair. Satu mesej boleh lahir di TikTok, diperdebatkan di X (Twitter), disebarkan melalui WhatsApp, diulas semula di televisyen dan akhirnya menjadi tajuk utama akhbar keesokan harinya. Dunia komunikasi kini adalah ekosistem terbuka yang bergerak pantas, mendesak pengamalnya untuk menguasai pelbagai kemahiran secara serentak.
Kehadiran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) mempercepatkan perubahan ini. AI kini mampu menulis teks berita asas, mencipta grafik automatik, menghasilkan suara sintetik dan menyebarkan kandungan secara berskala besar. Namun, inilah cabaran dan peluang besar untuk pelajar baharu. Mereka mesti berani membina identiti sebagai wartawan, pereka kandungan dan penganalisis yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi mampu menilai kebenaran dan menegakkan integriti di tengah arus maklumat bercampur-baur.
Dalam kewartawanan moden, teori ‘agenda setting’ tetap relevan. Walaupun semua orang boleh bersuara di media sosial, penguasaan untuk menonjolkan isu tertentu masih menentukan apa yang dianggap penting oleh khalayak. Wartawan masa kini harus mahir memanfaatkan algoritma platform agar agenda yang benar dan berfakta tidak tenggelam dalam kebisingan digital. Begitu juga dengan teoriframing’ yang menjelaskan bagaimana bingkai naratif boleh menentukan pemahaman masyarakat. Pelajar media perlu dilatih bukan sekadar menyalurkan maklumat, tetapi menguasai seni membingkai mesej agar ia jelas, tepat dan menyentuh emosi.
Sementara itu, konsep prosumer’, pengguna yang juga pencipta kini mendominasi landskap komunikasi. Khalayak bukan lagi pasif, mereka menuntut interaksi dua hala, bahkan turut membina naratif bersama. Ini menuntut pelajar baharu menjadiversatile communicator’ iaitu berupaya mengawal perbualan, mendengar sentimen dan menyesuaikan mesej secara strategik.
Konsep ‘platform society’ menegaskan bahawa media sosial bukan sekadar alat, tetapi infrastruktur sosial-politik yang menentukan siapa mendapat perhatian dan siapa terpinggir. Maka, pelajar mesti celik tentang bagaimana algoritma membentuk realiti politik, ekonomi dan budaya. Dalam perhubungan awam, kecekapan mengurus krisis reputasi digital menjadi kemahiran wajib. Dunia kini menyaksikan betapa pantas reputasi boleh runtuh hanya kerana satu ciapan, satu video atau satu imej yang tersebar. Teorisituational crisis communication theory’ (SCCT) menekankan perlunya strategi respon yang segera, tepat dan sesuai dengan konteks. Pelajar baharu perlu bersedia mempelajari seni membina mesej krisis yang bukan sahaja memadam konflik, tetapi memulihkan kepercayaan jangka panjang.
Dalam pemasaran komunikasi, kuasa viral menggantikan papan iklan tradisional. Generasi baharu pengamal komunikasi perlu memahami psikologi khalayak digital iaitu mengapa mereka berkongsi, mengapa mereka percaya dan mengapa mereka bertindak. Di sinilah analisis insight’ dari data media sosial menjadi senjata strategik. Dengan kemahiran menggabungkanbig data analytics’ bersama kreativiti naratif, pelajar boleh merangka kempen komunikasi yang bukan sahaja berkesan, tetapi juga berakar pada realiti tingkah laku pengguna.
Selain itu, muncul pula satu kemahiran baharu yang semakin penting iaitu ‘Data Journalism’. Dalam dunia yang dipenuhi banjir maklumat, fakta dan angka sering tenggelam tanpa tafsiran yang tepat. Di sinilah peranan wartawan data menjadi signifikan. Mereka bukan sekadar melaporkan, tetapi menganalisis set data besar, mengekstrak makna dan menyampaikannya melalui visualisasi interaktif seperti graf, peta digital dan infografik. Data Journalism menuntut pelajar bukan sahaja celik berita, tetapi juga celik data, memahami statistik asas dan mahir menggunakan alat seperti analitik Google. Dengan kemahiran ini, pelajar dapat menyajikan laporan yang lebih berfakta, telus dan sukar dipersoalkan, sekali gus memulihkan kepercayaan khalayak terhadap media.
Hakikatnya, senario media kontemporari menuntut pelajar untuk menjadi ‘multiskilled communicator’ – wartawan yang boleh menulis berita ringkas tetapi juga membuat video pendek; pegawai komunikasi yang boleh menghasilkan poster Canva tetapi juga membina strategi ‘fact-checking’; penganalisis pemasaran yang boleh membacainsight’ tetapi juga menyampaikan naratif melalui podcast atau `live streaming’ dan kini, wartawan data yang boleh membongkar kebenaran melalui angka dan statistik. Serba boleh bukan lagi pilihan, tetapi keperluan untuk bertahan.
Maka, kepada pelajar baharu yang akan melangkah ke universiti pada akhir September ini, ketahuilah anda sedang memasuki medan yang dramatik, dinamik dan menentukan masa depan. Anda bakal menjadi arkitek komunikasi yang bukan sahaja membina cerita, tetapi membina kepercayaan, membentuk wacana dan menentukan arah demokrasi digital. Dunia kini sedang menunggu keberanian anda untuk mencabar arus, kecerdikan anda menguasai teknologi, kebolehan anda menafsir data dan kebijaksanaan anda menyampaikan fakta di tengah gelombang emosi.
Selamat datang ke dunia media dan komunikasi. Di sini, anda akan diuji dengan teori, diasah dengan latihan dan dibentuk untuk menjadi profesional yang mampu melangkah dari bilik kuliah ke medan sebenar. Dunia tidak sabar melihat bagaimana generasi baharu ini akan menulis sejarahnya, bukan dengan pena sahaja, tetapi dengan video, dengan suara, dengan algoritma, dengan data dan dengan keberanian yang tidak pernah goyah.