KUALA LUMPUR, 3 September 2025 – Kursus Pelan Media Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bermula hari ini dengan pengisian intensif yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Malaysian Press Institute (MPI), Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail.
Seramai hampir 40 orang warga KEMAS yang menggalas tanggungjawab dalam bidang media dan komunikasi di peringkat ibu pejabat serta negeri telah menyertai program ini.
Pada sesi pagi, peserta diberi pendedahan mengenai perancangan kandungan media sosial termasuk kaedah menyediakan template kandungan yang lebih sistematik. Mereka turut menjalani latihan praktikal apabila diberi tugasan menghasilkan dokumentari pendek sebagai sebahagian daripada latihan kreatif.
Sementara itu, sesi petang menumpukan kepada penyediaan Business Model Canvas (BMC) untuk KEMAS. Melalui sesi ini, peserta dibimbing dalam merangka pendekatan komunikasi yang lebih strategik dan berstruktur selari dengan matlamat organisasi.