18 Disember 2024, Putrajaya – Malaysian Press Institute (MPI) telah memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan berimpak kepada wartawan dan memastikan penggunaan teknologi yang selamat serta beretika.
Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, YB Teo Nie Ching berkata, MPI telah memulakan latihan kewartawanan data, laporan penyiasatan, komunikasi digital dalam usaha melengkapkan pengetahuan wartawan pada bidang teknologi tinggi untuk guna pakai dalam kerja harian mereka.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis peluncuran program latihan “Artificial Intelligence: Empowering Journalists on Content and Newsroom Management” di Hotel The Everly, Putrajaya pada 17 Disember 2024.
Katanya, usaha yang dilakukan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dalam menyusun program latihan berteraskan teknologi sangat dihargai dan wajar diteruskan, selain memastikan wartawan memahami cabaran pelaporan masa hadapan melalui pembelajaran kemahiran AI ini.
“Program ini diadakan selama dua hari di enam wilayah yang akan dimulakan di wilayah Lembah Klang iaitu di Cyberjaya Selangor, Sarawak, Sabah, Wilayah Selatan di Johor, Wilayah Pantai Timur di Terengganu dan Wilayah Utara di Pulau Pinang.”
“Bagi memastikan setiap pengamal media dapat mengikuti program latihan ini, MPI mengambil inisiatif membuka penyertaan mengikut wilayah. Dengan jumlah 120 pengamal media dan 30 orang pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), saya amat berharap peluang ini digunakan sebaik mungkin,’’ katanya.
Majlis itu dihadiri oleh Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin; Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail. Hadir sama, ketua-ketua pengarang agensi media dan Ahli Majlis Pentadbir MPI.
Dalam perkembangan lain, YB Teo Nie Ching juga mengulas mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 (MMM) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada 12 Disember 2024 sebagai langkah penting ke arah penubuhan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media.
Jelasnya, bacaan kali kedua dijangka pada Februari 2025 dan RUU ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh industri media melalui sokongan terhadap standard kewartawanan dan profesionalisme, pembangunan kod etika pelaporan, penyediaan mekanisme aduan bebas dan telus.
“Majlis Media Malaysia akan menjadi platform menyelesaikan pertikaian media, meningkatkan keyakinan awam terhadap laporan berita yang sahih dan bertanggungjawab. RUU ini juga menggariskan fungsi, kuasa, keahlian, serta kod tingkah laku profesional pengamal media, menyumbang kepada kestabilan politik dan keselamatan negara.”
“Saya optimis, apabila lulusnya RUU ini nanti, sektor media akan lebih kukuh, dan kesejahteraan pengamal media terus terpelihara menghadapi cabaran kewartawanan moden,’’ tegasnya. _ Sekretariat MPI
Ucapan penuh YB Timbalan Menteri : https://drive.google.com/drive/folders/1UkfdIk35GMUjK86qPsFlZOFI44dTYTOP?usp=sharing

