16 Oktober, Kuala Lumpur – Setiap wartawan harus dibekalkan dengan kefahaman dan pengetahuan terhadap apa yang hendak dilaporkan agar hasil yang ditulis dan divisualkan, menjadi tepat serta mudah difahami rakyat.
Ini dijelaskan oleh Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB), En. Samsul Ariffin Zainuddin dalam sesi diskusi bersama Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong semasa berkunjung di Ibu Pejabat TNB, di sini, semalam.
Katanya, untuk memahamkan operasi, istilah dan kredibiliti TNB kepada wartawan atau pengamal media di negara ini, pihak TNB bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan MPI bagi menganjurkan kursus sedemikian dalam waktu terdekat.
“Kita menawarkan kepakaran dalam menyampaikan pencerahan terhadap hal berkaitan industri tenaga pada hujung tahun ini bersama MPI,’’ katanya.
MPI turut dihadiri Ketua Pegawai Operasinya, Haji Ainol Amriz Ismail bersama pengurusan.
“TNB akan membawa pakar menerangkan operasi dan komitmen, terutama berkaitan bekalan tenaga yang berkekalan, kecekapan dan keselamatan tenaga, dasar-dasar kerajaan berkaitan tenaga dan pembangunan tenaga lestari. Ini juga termasuk hal tenaga yang diperbaharui.
“Dengan pencerahan ini, lebih ramai wartawan akan memahami aspek tenaga ini dan corak penulisan kelak akan menjadi lebih bermutu dan mudah difahami rakyat,’’ ujar Encik Samsul dengan jaminan bengkel ini akan diadakan secara berterusan bersama MPI.
Selain itu, TNB juga akan memperhalusi cadangan MPI dalam mempelawa TNB sebagai penaja utama kepada satu anugerah baharu yang dirancang pada tahun hadapan, khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi.
“Hasrat TNB adalah untuk terus menyokong MPI dalam apa jua aktiviti yang dirancang. Kita mahu bersama menjayakannya. Bagi cadangan dan pelawaan untuk satu anugerah berprestij yang baharu itu, pihak kami akan membawanya ke pengurusan untuk dibincangkan.
“Kita melihat ini adalah platform terbaik untuk pelajar institusi pengajian tinggi menulis berkaitan tenaga dan sebagainya serta diiktiraf dalam satu anugerah sebagaimana Hadiah Kewartawanan Malaysia,’’ kata Encik Samsul.




