CYBERJAYA, 14 Oktober 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) meneruskan penganjuran bengkel Suara, Gaya & Keyakinan pada hari kedua dengan memberi penekanan terhadap kemahiran komunikasi berkesan, pembinaan keyakinan diri dan penampilan imej profesional.
Seramai 18 peserta yang terdiri daripada pengamal media serta wakil FGV dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) mengikuti sesi latihan bersama Encik Ally Iskandar, Anchor BERNAMA, di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Antara pengisian bengkel termasuk komunikasi dalam situasi rasmi, pengurusan emosi, penampilan diri dan etiket profesional. Peserta turut didedahkan kepada etika serta pemilihan pakaian yang bersesuaian ketika mewakili organisasi, termasuk kepentingan menjaga penampilan, tingkah laku dan adab dalam urusan rasmi.
Penekanan turut diberikan terhadap bagaimana penampilan diri dan cara berkomunikasi mampu membentuk persepsi orang lain terhadap seseorang individu serta organisasi yang diwakilinya. Kemahiran ini penting bagi memastikan peserta tampil lebih yakin, profesional dan berwibawa ketika berhadapan dengan pelbagai khalayak.
Melalui bengkel ini, MPI berharap peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari untuk meningkatkan kualiti komunikasi serta membina imej profesional yang positif. Hal ini kerana keberkesanan komunikasi bukan sahaja bergantung pada mesej yang disampaikan, tetapi juga cara seseorang membawa diri, berinteraksi dan menampilkan imej sebagai wakil organisasi.








