CYBERJAYA, 11 Jun 2026 – Bengkel Pembangunan Pelan Komunikasi Strategik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) diteruskan dengan pelbagai pengisian yang memberi fokus kepada pengukuhan reputasi organisasi, pemerkasaan digital serta hubungan strategik dengan media bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih berkesan kepada rakyat dan pemegang taruh.
Pada hari kedua bengkel, peserta telah mengikuti sesi Pengurusan Imej Korporat yang disampaikan oleh Encik Mohd. Faizal Zakaria, Mantan Editor Pemprosesan KOSMO!, yang berkongsi pengalaman serta pendekatan dalam membina, mengurus dan mempertahankan imej organisasi dalam persekitaran komunikasi yang semakin mencabar. Peserta turut didedahkan kepada aspek pengurusan persepsi awam, komunikasi krisis, hubungan media dan kepentingan penyampaian mesej yang konsisten bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap organisasi.

Sesi seterusnya iaitu Pemerkasaan Digital telah dikendalikan oleh Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI). Seramai 21 peserta didedahkan kepada penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh fungsi komunikasi organisasi melalui penyelidikan, analisis data, pembangunan kandungan, pemantauan media, analisis sentimen awam serta pengurusan maklumat secara lebih sistematik dan berkesan.
Menurut Dr. Ainol, pembangunan Pelan Komunikasi Strategik yang berkesan memerlukan organisasi memahami perubahan tingkah laku masyarakat yang kini semakin bergantung kepada platform digital sebagai sumber utama mendapatkan maklumat.
“Komunikasi digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya telah menjadi keperluan strategik bagi setiap organisasi. Rakyat hari ini mendapatkan maklumat melalui pelbagai platform secara serentak dan dalam tempoh yang pantas. Justeru, pelan komunikasi yang dibangunkan perlu mengambil kira perubahan ini supaya mesej organisasi dapat disampaikan dengan lebih berkesan, tepat dan relevan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan AI mampu membantu pegawai komunikasi meningkatkan kecekapan kerja melalui automasi tugasan tertentu, pemantauan isu semasa, analisis trend dan pembangunan kandungan yang lebih bersasar.

“Teknologi AI boleh menjadi rakan strategik kepada pegawai komunikasi dalam membuat penyelidikan, menganalisis data dan memahami kehendak audiens. Namun, integriti, ketepatan fakta dan pertimbangan profesional tetap perlu menjadi keutamaan kerana teknologi tidak boleh menggantikan tanggungjawab manusia dalam memastikan maklumat yang disampaikan adalah sahih dan beretika,” jelas beliau.
Tambah beliau, pelan komunikasi strategik yang baik perlu dibangunkan berasaskan data, bukti dan pemahaman mendalam terhadap keperluan kumpulan sasaran.





