MPI Dilantik Sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) bagi Sub-Sektor Kewartawanan Media

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) secara rasmi dilantik sebagai Industry Lead Body (ILB) bagi sub-sektor kewartawanan dan media di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju dalam pembangunan modal insan, standard kompetensi dan profesionalisme industri media negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, berkata pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan penting terhadap keupayaan MPI dalam menerajui pembangunan kompetensi tenaga kerja media, di samping memastikan profesion kewartawanan terus berkembang selari dengan perubahan teknologi, keperluan industri dan aspirasi negara.

Beliau berkata, sebagai Industry Lead Body, MPI akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), organisasi media, institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan bagi membangunkan serta mengemas kini National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk bidang kewartawanan dan media.

Piawaian itu akan menjadi asas kepada pembangunan kurikulum latihan, pensijilan kemahiran dan pembangunan bakat yang meliputi kewartawanan digital, kecerdasan buatan (AI), analisis data, multimedia, keselamatan digital serta kompetensi profesional yang diperlukan oleh industri media masa kini.

Menurut beliau, pelantikan tersebut turut membuka laluan kepada wartawan, editor, jurufoto, juruvideo, penerbit kandungan, penyunting visual dan pengamal media lain untuk  memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Pendekatan itu membolehkan pengalaman kerja dan kompetensi profesional yang dimiliki dinilai serta diiktiraf secara rasmi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran, mobiliti kerjaya dan profesionalisme pengamal media.

Dr Ainol turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada MPI sebagai Industry Lead Body bagi subsektor kewartawanan dan media. Beliau berkata, pengiktirafan itu melihatkan keyakinan kerajaan terhadap peranan MPI sebagai institusi yang mampu memacu pembangunan standard kemahiran dan kompetensi industri media negara secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Industry Lead Body (ILB) merupakan organisasi peneraju industri yang dilantik oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi menerajui pembangunan standard kemahiran, kompetensi pekerjaan dan pembangunan bakat mengikut sektor masing-masing.

Dalam konteks kewartawanan dan media, pelantikan MPI sebagai Industry Lead Body (ILB) amat signifikan kerana ia meletakkan pembangunan modal insan industri pada landasan yang lebih tersusun, berpandukan keperluan sebenar organisasi media serta perkembangan teknologi semasa.

Melalui peranan ini, MPI akan membantu memastikan latihan dan Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia diperkasa dan sentiasa relevan dengan kehendak industri, memperkukuh hubungan antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan organisasi media,
serta mengekalkan etika, integriti, semakan fakta dan kredibiliti kewartawanan sebagai teras utama pembangunan kompetensi.

Langkah ini dijangka memperkukuh daya saing industri media Malaysia, melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan memperkasakan profesion kewartawanan dalam mendepani era transformasi digital.

#MPICommit

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest