Apabila AI Menghasilkan Berita Palsu: Peranan Penyelidikan dan Kewartawanan

Pernahkah kita menerima mesej yang mendakwa berlaku penculikan kanak-kanak di kawasan berhampiran, kononnya disertakan dengan gambar dan video yang kelihatan begitu meyakinkan? Tidak lama kemudian, pihak berkuasa mengesahkan bahawa berita tersebut sebenarnya palsu. Namun, dalam tempoh beberapa jam sahaja, mesej itu telah dikongsi ribuan kali. Fenomena ini bukan baharu, namun cabarannya meningkat hari ini kerana adanya AI yang menjadi platform utama penghasilan berita palsu yang amat menghampiri atau melebihi realiti.

Dari segi istilah, walaupun istilah fake news atau berita palsu masih popular dalam kalangan masyarakat, dunia akademik hari ini sebenarnya telah beralih kepada konsep yang lebih menyeluruh, iaitu information disorder. Istilah ini membezakan antara maklumat yang tersalah dikongsi tanpa niat untuk menipu (misinformation), maklumat yang sengaja direka bagi memperdaya orang ramai (disinformation), serta maklumat yang benar tetapi disebarkan dengan tujuan mencetuskan kemudaratan (malinformation). Perubahan istilah ini mencerminkan kematangan dalam penyelidikan berkaitan berita palsu yang tidak lagi melihat semua maklumat palsu sebagai fenomena yang sama.

Dalam bidang kewartawanan, kajian mengenai berita palsu berkembang dengan amat pesat sejak sedekad yang lalu. Pada peringkat awal, kebanyakan penyelidikan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti ciri-ciri berita palsu dan membangunkan teknologi untuk mengesannya. Kini, fokus penyelidikan telah berubah kepada persoalan yang lebih mendalam. Misalnya, mengapakah seseorang mudah mempercayai maklumat yang tidak benar? Mengapakah mereka tetap berkongsi sesuatu berita walaupun tidak pasti kesahihannya? Apakah peranan emosi, ideologi, identiti politik dan algoritma media sosial dalam mempengaruhi keputusan tersebut?

Selain itu, perkembangan kecerdasan buatan (AI) telah mula mengubah landskap penyelidikan secara signifikan. Jika dahulu berita palsu banyak dihasilkan secara manual, kini AI generatif mampu menghasilkan artikel, imej, audio dan video yang hampir mustahil dibezakan daripada kandungan sebenar. Kemunculan teknologi deepfake membolehkan wajah dan suara seseorang dimanipulasi sehingga kelihatan seolah-olah individu tersebut benar-benar mengucapkan sesuatu yang tidak pernah diperkatakannya. Keadaan ini menjadikan cabaran kepada kewartawanan profesional semakin kompleks dan memerlukan pendekatan baharu dalam proses pengesahan maklumat.

Ironinya, AI bukan sekadar menjadi sebahagian daripada masalah, malah berpotensi menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya. Hari ini, banyak organisasi media antarabangsa kini menggunakan AI untuk membantu mengesan manipulasi imej, menyemak fakta, mengenal pasti kandungan sintetik serta menganalisis pola penyebaran maklumat palsu. Namun begitu, teknologi sahaja tidak mencukupi. Unsur yang paling penting tetap bergantung kepada integriti wartawan, budaya pengesahan fakta yang kukuh serta tahap literasi media dalam kalangan masyarakat.

Atas sebab itu, penyelidikan akademik mengenai berita palsu terus berkembang dan menjadi antara bidang yang paling aktif dalam komunikasi dan kewartawanan. Kajian hari ini bukan lagi sekadar bertujuan memahami bagaimana maklumat palsu dihasilkan atau disebarkan, tetapi lebih penting lagi mencari kaedah yang benar-benar berkesan untuk mengurangkan kesannya. Penyelidikan dapat membantu organisasi media membangunkan prosedur pengesahan berita yang lebih sistematik, meningkatkan latihan kewartawanan, menghasilkan garis panduan penggunaan AI yang beretika, serta memperkukuh usaha semakan fakta (fact-checking). Dalam masa yang sama, hasil penyelidikan boleh dimanfaatkan oleh institusi pendidikan untuk memperkukuh literasi media agar masyarakat lebih kritis dalam menilai setiap maklumat yang diterima.

Bagi negara seperti Malaysia, kepentingan penyelidikan ini dilihat lebih besar daripada jangkaan. Landskap media tempatan yang mempunyai keunikan tersendiri dengan kepelbagaian bahasa, budaya dan latar belakang masyarakat menjadi faktor cabaran lebih daripada negara lain. Maklumat yang tular dalam bahasa Melayu mungkin mempunyai corak penyebaran yang berbeza daripada bahasa Inggeris, Cina atau Tamil. Justeru, dapatan penyelidikan dari negara Barat tidak semestinya boleh diaplikasikan secara langsung dalam konteks tempatan. Ini bermakna, Malaysia memerlukan lebih banyak kajian yang mengambil kira realiti sosial, budaya dan ekosistem medianya sendiri.

Dalam konteks ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut memainkan peranan aktif dalam memperkaya penyelidikan berkaitan berita palsu dan integriti maklumat. Penyelidikan yang pasukan kami sendiri jalankan merangkumi pelbagai dimensi, termasuk perspektif Islam terhadap berita palsu, implikasi etika penyebaran maklumat tidak sahih, tahap kesedaran masyarakat terhadap berita palsu, literasi media, serta potensi dan cabaran penggunaan kecerdasan buatan dalam menghasilkan serta menangani penyebaran maklumat palsu. Hasil kajian bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu dalam bidang kewartawanan dan komunikasi, malah menawarkan cadangan praktikal kepada organisasi media, institusi pendidikan dan pembuat dasar dalam memperkukuh integriti ekosistem maklumat negara.

Hakikatnya, isu berita palsu bukan lagi sekadar persoalan teknologi atau media sosial. Ia telah menjadi cabaran kepada demokrasi, keselamatan negara, perpaduan masyarakat dan kepercayaan terhadap institusi media. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, masyarakat bukan sahaja memerlukan akses kepada berita, tetapi lebih penting lagi memerlukan berita yang benar, disahkan dan boleh dipercayai.

Maka, penyelidikan mengenai berita palsu perlu terus diperkasakan. Cabaran pada hari ini bukan lagi sekadar mengenal pasti berita palsu, tetapi membina sebuah ekosistem maklumat yang lebih berintegriti. Dalam usaha tersebut, kewartawanan yang beretika, budaya semakan fakta, literasi media yang kukuh dan penggunaan AI secara bertanggungjawab akan menjadi tonggak utama dalam memastikan kebenaran terus mendapat tempat di tengah-tengah lambakan maklumat digital. Di sinilah peranan universiti, penyelidik, organisasi media, pembuat dasar dan masyarakat perlu digembleng secara bersama. Hanya melalui penyelidikan yang berterusan, berasaskan bukti dan bersifat kolaboratif, kita mampu membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja celik media, malah berupaya mempertahankan kebenaran dalam era digital yang semakin mencabar.

Oleh:
Dr Siti Suriani Othman

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri

Prof. Madya Dr. Norhayati Rafidah Abdul Rahim &

Dr. Mohd Raqib Sofian

Program Komunikasi

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Universiti Sains Islam Malaysia

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter