KOTA KINABALU, 5 Februari 2026 — Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan satu pertemuan bersama Overseas Chinese Daily News (OCDN) bagi membincangkan perkembangan semasa industri media, khususnya cabaran yang dihadapi akhbar fizikal dalam landskap media yang semakin mencabar.
Ketua Pengarang Overseas Chinese Daily News, Encik Liau Sin Foh, berkata antara cabaran utama ketika ini ialah kemerosotan pengiklanan dalam akhbar bercetak susulan perubahan corak pemasaran yang kini lebih tertumpu kepada platform digital.
Beliau yang mula berkhidmat dalam industri media sejak tahun 2002 turut berkongsi pengalaman hampir 24 tahun dalam bidang kewartawanan, termasuk penglibatan awal sebagai penterjemah sebelum memegang peranan penting dalam pengurusan editorial.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform pertukaran pandangan mengenai keperluan meningkatkan kemahiran pengamal media melalui latihan berterusan, sejajar dengan perubahan pesat landskap industri komunikasi. MPI turut mempelawa OCDN untuk menghantar karya-karya di peringkat nasional khususnya dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia yang diadakan setiap tahun.
Delegasi MPI diketuai oleh Ahli Majlis Pentadbir, Encik Thiaga Rajan, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain, Eksekutif Kanan Unit Projek Khas, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz dan Eksekutif Kandungan Kreatif, Encik Muhammad Asyraf Rosmidi.



