Forum Mini Kewartawanan Bincang Cabaran Media Digital Di UMS

KOTA KINABALU, 5 Februari — Isu keseimbangan antara viral, kepantasan dan ketepatan dalam landskap media digital menjadi tumpuan utama Forum Mini Kewartawanan: Viral, Kepantasan & Ketepatan – Cabaran Media Era Digital yang berlangsung hari ini di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Forum anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama UMS itu menghimpunkan pengamal media, warga akademik serta pelajar komunikasi bagi membincangkan cabaran semasa dunia kewartawanan dalam era penyebaran maklumat pantas dan budaya tular di media sosial.

Antara panel yang terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif KupikupiFM Sabah, Lester Calvin Miol, dan Ketua Pengarang Vanakkam Malaysia, M. Thiaga Rajan. Forum ini dimoderatorkan oleh Dr. Cyril Modili, Pensyarah Kanan Program Komunikasi FSSK UMS.

Forum tersebut turut dihadiri serta diserikan dengan ucapan oleh Dr. Aisah Meri, Ketua Program Komunikasi, yang hadir mewakili Dekan FSSK UMS. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendedahan awal kepada realiti industri media bagi melahirkan graduan komunikasi yang berdaya saing dan beretika.

Dalam sesi perbincangan, para panel menekankan kepentingan integriti, etika kewartawanan serta keperluan pengamal media untuk mengekalkan ketepatan fakta walaupun berdepan tekanan untuk menjadi yang terpantas dalam melaporkan berita.

Forum ini disusuli dengan sesi Meet & Greet bersama para panel, yang memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat, bertanya secara langsung serta mendapatkan pandangan praktikal berkaitan realiti dan peluang kerjaya dalam industri media.

Hadir sama Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain, Eksekutif Kanan Unit Projek Khas, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz, barisan pensyarah FSSK UMS dan rakan media.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen berterusan MPI dalam memperkukuh profesionalisme kewartawanan serta memperkasa literasi media, khususnya dalam kalangan generasi muda dan bakal pengamal media.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter