CYBERJAYA, 9 Februari 2026 — Program Train the Trainer anjuran Malaysian Press Institute (MPI) telah bermula hari ini dengan sesi penyampaian oleh Master Trainer & Assessor HRD Corp, Ts. Dr. Timothy Law.
Program intensif selama lima hari ini berlangsung dari 9 hingga 13 Februari 2026 dan disertai oleh sembilan orang peserta yang mewakili pelbagai organisasi media dan komunikasi, dengan tujuan memperkukuh kompetensi mereka sebagai jurulatih profesional di masa akan datang.
Sesi pembelajaran pada hari pertama ini dimulakan dengan pendahuluan bagi Modul 1: Plan Adult Training, yang memberi penekanan kepada asas perancangan latihan berasaskan keperluan peserta dewasa. Peserta turut terlibat dalam sesi pembentangan berkaitan persiapan, peranan serta kompetensi yang perlu dimiliki untuk menjadi jurulatih bertauliah selepas menamatkan program ini.
Sepanjang program ini juga, peserta turut didedahkan dengan pendekatan latihan yang sistematik, teknik penyampaian yang berkesan serta kaedah penilaian latihan yang menepati standard industri.
Penglibatan aktif dalam latihan ini diharap dapat membantu para pengamal media yang mewakili organisasi masing-masing membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memperkukuh keupayaan mereka dalam merancang dan mengendalikan sesi latihan yang berkualiti. Secara tidak langsung, latihan ini mampu mempertingkatkan standard profesionalisme, nilai etika serta kompetensi dalam kalangan pengamal media.












