KOTA KINABALU, 5 Februari 2026 — Malaysian Press Institute (MPI) hari ini membincangkan kerjasama bersama Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) memperkukuh strategi komunikasi pembangunan Sabah yang melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan termasuk pengamal media di negeri ini.
Dalam pertemuan tersebut, MPI turut merakamkan penghargaan kepada SSMJ atas sokongan terhadap pelaksanaan program latihan untuk pengamal media di Sabah yang telah dianjurkan pada tahun lalu yang disifatkan sebagai antara faktor penting dalam meningkatkan profesionalisme dan keupayaan pengamal media tempatan.
Perbincangan juga menumpukan kepada keperluan penyelarasan strategi komunikasi pembangunan secara lebih menyeluruh dan bersepadu, khususnya bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan negeri dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat melalui pengamal media.
Delegasi SSMJ diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, YBhg. Datuk Ramlee Kariah bersama Pengarah Puan Rosnih Othman, Penolong Pengarah, Puan Sohbieray Ghulabdin dan Penolong Pegawai Tadbir, Encik Mohd Zulfikar.
Sementara itu, delegasi MPI diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Ahli Majlis Pentadbir Encik Thiaga Rajan, Dr. Diana Dominic dan Puan Mariah Doksil. Turut hadir ialah Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain, Eksekutif Kanan Unit Projek Khas, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz serta Eksekutif Kandungan Kreatif Encik Muhammad Asyraf Rosmidi.



