KURSUS PERTAMA MPI SELEPAS PKP

Kursus pertama anjuran Malaysian Press Institute (MPI) setelah kerajaan membenarkan penganjuran kursus, seminar, bengkel berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung pada 14 dan 15 Julai 2020 lalu di Bilik Latihan MPI, Cyberjaya.

13 orang peserta, sebahagian besar mereka pegawai-pegawai penerangan Jabatan Penerangan Malaysia, pengamal komunikasi korporat serta pengamal media telah mengikuti Bengkel Penulisan Berkesan selama dua hari itu.

Kursus tersebut telah dikendalikan oleh Mohd Faizal Zakaria, mantan pengarang prosesan produksi akhbar Kosmo!. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2004.

Selama dua hari mengikuti kursus tersebut para peserta telah didedahkan dengan selok belok menghasilkan penulisan yang berkesan dalam bentuk kenyataan media, penulisan rencana dalam upaya untuk mempromosi organisasi masing-masing kepada khalayak baik menerusi media dalam alam nyata dan alam maya.

Dalam melaksanakan kursus era PKPP itu, MPI telah mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan penjarakan sosial, penyediaan makanan dan sebagainya dalam bilik latihan MPI, di Cyberjaya di mana kursus itu diadakan.

Rata-rata para peserta gembira dengan langkah-langkah yang diambil oleh MPI dalam menjamin keselamatan mereka yang mengikuti kursus pertama tersebut.

Pengurus Latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaludin memberitahu dalam penganjuran program-program latihan semasa PKPP berkuatkuasa, pihak institut akan memberi keutamaan kepada keselesaan dan keselamatan para peserta.

“Justeru, apa juga langkah yang dicadangkan oleh MKN akan kami patuhi sepenuhnya,” ujar beliau yang juga gembira kerana hampir empat bulan menghentikan operasi, MPI berupaya melaksanakan program-program latihan yang tergendala semasa PKP berkuatkuasa.

Beliau berharap kursus-kursus lain yang dianjurkan oleh MPI selepas ini akan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pengamal komunikasi korporat, perhubungan media dan juga para wartawan.

Beliau merakamkan terima kasih kepada para majikan yang bekerjasama dalam menjayakan program-program latihan anjuran MPI sebelum ini dan pada masa akan datang.

Berikut merupakan rangkuman gambar-gambar kursus sambil mengekalkan SOP yang ditetapkan.

1. PATUH! Pemeriksaan suhu, mencuci tangan menggunakan ‘sanitizer’ & menyediakan pelitup muka merupakan perkara penting sebelum memasuki bilik latihan.
2. Sebahagian peserta yang mengikuti bengkel selama 2 hari mengenakan pelitup muka semasa menghadiri kursus.
3. Penceramah, Encik Faizal Zakaria menerangkan beberapa teknik penulisan bagi menghasilkan penulisan yang berkesan.
4. Para peserta mendengar arahan dari penceramah sebelum aktiviti berkumpulan dijalankan.
5. Salah seorang peserta menikmati minum pagi beliau dimeja makannya sendiri bagi mengikuti SOP yang ditetapkan.
6. Para peserta bergambar kenangan bersama penceramah disamping mengamalkan penjarakan sosial.