MPI DILANTIK URUSETIA ANUGERAH MEDIA MEEMBAR HALAL

KENYATAAN MEDIA

MPI DILANTIK URUSETIA ANUGERAH MEDIA MEEMBAR HALAL

Cyberjaya, 23 Januari – Anugerah Media Meembar Halal akan dilancarkan bersempena dengan Pra Pelancaran Global Halal Summit 2019 (GHaS) pada 28 Januari ini bertempat di Grand Hyatt Hotel Kuala Lumpur.

Anugerah yang memfokuskan tentang bidang berkaitan industri global halal meliputi produk dan perkhidmatan. Selain bermatlamat untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media tempatan dalam penyaluran maklumat industri global halal kepada khalayak menerusi penghasilan pelaporan dan penulisan masing-masing.

Malaysian Press Institute (MPI) dilantik sebagai Urusetia Anugerah.

Empat kategori dipertandingkan iaitu media cetak dan portal berita; media penyiaran – televisyen dan video dalam talian; media penyiaran – radio; dan media sosial.

Penyertaan terbuka kepada karya-karya yang dihasilkan bagi tempoh 1 Januari 2018 sehingga 15 Februari 2019 layak menyertai.

Menurut Eksekutif Anugerah MPI, Salman Husni Abdollah “penyertaan secara rasminya akan dibuka pada 28 Januari ini dan tarikh tutup penyertaan pada 20 Februari 2019. Saya berharap agar para wartawan mengambil peluang terbaik ini dengan menghantar karya masing-masing untuk dipertandingkan bagi merebut hadiah yang ditawarkan”.

Majlis penyampaian anugerah dijadualkan pada awal April ini dan Meembar Sdn Bhd bertindak sebagai penganjur anugerah.

Meembar Sdn Bhd merupakan syarikat yang menyediakan aplikasi sebagai sumber rujukan pemberian maklumat releven dan semasa mengenai gaya hidup, pemakanan atau apa jua berkaitan dengan HALAL secara global.

Layari laman sesawang MPI di http://mpi.my/meembarhalalmedia-award bagi mendapat borang penyertaan serta syarat penyertaan atau hubungi Urusetia Anugerah di talian 03-86892717/2718.

 

Dikeluarkan pada : 23 Januari 2019