MPI release
MPI raikan krew penerbitan BERNAMA

MPI raikan krew penerbitan BERNAMA

Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) Hadiah Kewartawanan Malaysia 2019 (HKM 2019) telah berlangsung dengan gilang gemilang pada 11 September 2020 yang lalu bertempat di Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah disiarkan secara langsung oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melalui saluran 502 di Astro dan 603 di Unifi TV bermula jam 8.15 malam dan tamat pada hampir jam 11 malam.

Sebagai tanda penghargaan kerjasama erat antara Malaysian Press Institute (MPI) dengan BERNAMA maka pada 1 Oktober 2020, MPI telah mengadakan jamuan makan tengahari bersama lebih 30 kakitangan yang bertugas semasa MWM 2020. Jamuan makan tengahari telah diadakan di Restoran Rebung Dato’ Chef Ismail di Kuala Lumpur.

Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya yang tidak dapat bersama-sama pada majlis tersebut atas sebab tuntutan kerja telah diwakili oleh Penolong Pengurus Pentadbiran dan Akaun MPI, Yusof Saharin. Menurut Yusof majlis diadakan sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kakitangan BERNAMA yang terlibat dengan MWM 2020.

Tambah Yusof walaupun perancangan diantara BERNAMA dengan MPI dilakukan dalam waktu yang singkat namun kerjasama baik yang terjalin dan saling memahami telah dapat mengatasi segala cabaran pada MWM 2020 dan ini membolehkan siaran langsung diadakan dengan lancar. Beliau turut berharap agar kerjasama baik ini akan terjalin lagi pada MWM 2021 nanti.

BERNAMA diwakili oleh penerbit MWM 2020, Shuhaimi Mohamed. Turut hadir ialah Wan Syahrina Wan Ab Rahman, Ketua Unit Projek Khas, Bahagian Penyiaran. Penerbit dan wartawan lokasi MWM 2020, Shahrul Aini Saharan dan Nor Liyana Zulkifli turut hadir pada majlis makan tengahari tersebut.

Shuhaimi berkata beliau dan para petugas BERNAMA di MWM 2020 menghargai jemputan dari MPI untuk bersama-sama menjamu selera cuma oleh sebab waktu tugasan bidang penyiaran yang tidak menentu maka mereka hadir secara berkumpulan pada waktu berbeza agar tugasan di studio pada tengahari tersebut berjalan lancar dan pada masa yang sama dapat memenuhi jemputan MPI.

Pada akhir majlis Shuhaimi menyatakan bahawa seluruh tim produksi begitu gembira dengan jamuan oleh MPI. Beliau juga berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan pada MWM 2021.

Tahniah MPI dan BERNAMA atas usaha murni ini untuk membawa secara langsung ke kaca televisyen khusus untuk para penonton di rumah dengan matlamat untuk mengangkat karya-karya para wartawan yang terus bertungkus lumus melahirkan laporan-laporan yang terbaik sekaligus bersaing pada MWM 2020 HKM 2019.

Sebuah pantun khusus buat BERNAMA:

Pisang emas dibawa belayar

Masak sebiji diatas peti

Hutang emas boleh dibayar

Hutang budi senantiasa dekat di hati dan diingati…..

Terima kasih BERNAMA