MPI-Sinar Harian anjur kursus tingkat kualiti kewartawanan

Para wartawan bukan sekadar pelapor tetapi juga pencerita dan pencatat mengenai perkembangan yang berlaku dalam masyarakat.

Justeru melestarikan kemahiran mereka melapor sebagai seorang tukang cerita yang berpengetahuan kepada khalayak untuk menjadikan mereka anggota masyarakat bermaklumat adalah satu perkara penting.

Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kewartawanan dalam kalangan para wartawan akhbar hariannya, Sinar Harian, Kumpulan Karangkraf dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah mendayausaha satu siri latihan untuk mereka.

Pencetus idea bagi mengadakan kursus tersebut ialah Datuk Baharom Mahusin, Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian.

Kursus pertama mengenai Memahami Perlembagaan Persekutuan berlangsung berlangsung di Bilik Latihan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd di Lot 1, Jalan Renggam 15/5, Off Persiaran Selagor, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor selama dua hari pada 29 dan 30 April 2019.

Pembimbing kursus tersebut ialah pakar undang-undang tersohor negara, Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz.

35 orang wartawan kanan Sinar Harian dari seluruh negara mengikuti program tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam ucapan alu-aluan kepada para peserta menzahirkan penghargaan kepada Sinar Harian dan Datuk Baharom kerana membabitkan MPI dalam program latihan untuk para wartawan akhbar tersebut.

Selain dari Kursus Perlembagaan kerjasama diteruskan dengan beberapa kursus lagi seperti Kursus Undang-Undang Media, Kursus Penulisan Rencana, Kursus Investigative Writing, Kursus Kewartawanan Foto, Kursus Kewartawanan Video, Bengkel Pemurniaan Bahasa dan TV News Reporting.

Seramai 35 orang wartawan kanan akhbar Sinar Harian tekun mendengar ceramah Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz mengenai Perlembagaan Persekutuan pada 30 dan 31 April 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute YBhg. Datuk Chamil Wariya memberikan sepatah dua kata kepada peserta sebelum kursus bermula.

Profesor Madya Shamrahayu A. Aziz, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dijemput sebagai penceramah untuk kursus tersebut.

YBhg. Datuk Baharom Mahusin, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian menyampaikan cenderahati berupa buku-buku kewartawanan terbitan MPI kepada penceramah Profesor Madya Shamrahayu A. Aziz sebagai tanda kenangan.

Para peserta bergambar kenangan selepas kursus tamat.