Featured
MPI terbit 24  Karya Pemenang Anugerah Kajai

MPI terbit 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai

KENYATAAN MEDIA MPI

MPI terbit 24  Karya Pemenang Anugerah Kajai

Anugerah Kajai adalah satu hadiah utama Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS.  Ia pertama kali diperkenalkan pada 1982 dan antara 1982 sehingga 2016, 25 orang wartawan telah dinobatkan sebagai Wartawan Kajai.

Pemenang menerima ganjaran wang tunai RM30,000.00 , selain sijil dan trofi.

Memandangkan dalam kalangan wartawan ada yang bertanya bagaimana untuk memenangi Anugerah Kajai, maka Malaysian Press Institute (MPI) telah mendayausaha penerbitan sebuah buku yang mengantologikan karya para pemenang Anugerah Kajai itu.

Buku tersebut berjudul 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai. Walaubagaimanapun, karya pemenang anugerah bagi tahun 1989 iaitu Noraini Nordin dari akhbar Watan, tidak dapat dikesan, justeru tidak dapat dimuatkan dalam buku itu.

Pengurus Kanan MPI, Puan Norlida Jamain berharap dengan terbitnya buku 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai pengamal media di negara ini tidak lagi teraba-raba untuk menghasilkan karya-karya kewartawanan yang berkualiti bagi membantu mereka meraih Anugerah Kajai.

“Saya percaya sekiranya wartawan terutama dalam kalangan generasi muda meneliti karya-karya 24 orang pemenang Anugerah Kajai itu, mereka juga berupaya untuk memenangi anugerah yang diberi setahun sekali menerusi HKM. Tiada lagi ada alasan untuk mereka tidak bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Hadiah Kajai,” tegas Norlida.

Menurut beliau, buku itu sedang diedarkan di kedai-kedai buku utama. Bagaimanapun sekiranya buku itu dibeli terus daripada MPI, pembeli akan diberi diskaun sehingga 50 peratus.

Di pasaran, buku setebal 450 halaman itu dijual pada harga RM100 tetapi pembelian menerusi MPI harganya ialah RM50 senaskah.

Penerima pertama Anugerah Kajai ialah Datuk Rosnah Majid, ketika itu berkhidmat dengan Utusan Malaysia manakala pemenang mutakhir iaitu bagi 2016 pula ialah sekumpulan enam orang wartawan akhbar the Star.

Monopoli karya wartawan berbahasa Melayu berakhir pada 2014 apabila sepasukan tiga orang wartawan mewakili akhbar New Straits Times iaitu Farrah Naz Karim, Azliza Shah dan Haris Hussain diangkat sebagai penerima Anugerah Kajai pada HKM 2014.

Farrah Naz Karim dan Azliza Shah pula mencatatkan sejarah kerana memenangi anugerah tersebut untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2014 dan 2015.

Apa yang menarik mengenai buku ini ialah ia bukan sahaja memuatkan 24 karya para pemenang, tetapi juga panduan untuk menghasilkan karya bertaraf Kajai berdasarkan temuramah dengan para pemenang yang dimuatkan dalam Lampiran 3 buku tersebut.

Turut memberi panduan bagaimana seorang wartawan boleh memenangi Anugerah Kajai ialah tulisan bernas Profesor Madya, Dr. Jeniri Amir, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang telah menghuraikan ciri-ciri yang ada dalam 24 karya wartawan yang telah menerima pengiktirafan tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS.

Setelah meneliti 24 karya wartawan Kajai itu, Profesor Madya Dr. Jeniri, yang merupakan salah seorang hakim Hadiah Kewartawanan Malaysia, tampil dengan teori 11 Inya yang dimuatkan dalam Lampiran 4 buku tersebut.

Lampiran tersebut wajib dibaca oleh para wartawan yang bercita-cita untuk memenangi anugerah tersebut.

Dikeluarkan pada :    27 November 2017, Isnin