MPI timbang anjur kursus Sijil Kemahiran Kewartawanan NOSS

Malaysian Press Institute (MPI) menyatakan hasrat untuk menimbang menganjurkan program kemahiran kewartawanan pada peringkat sijil yang diiktiraf oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Malaysia kepada kalangan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kesediaan ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya pada pertemuan dengan rombongan jabatan itu yang telah memberi taklimat mengenai produk terbaharu NOSS iaitu Sijil Kemahiran Kewartawanan Malaysia (SKKM) di pejabat MPI pada 13 Julai 2015.

Kurikulum tahap tiga kewartawanan NOSS pada peringkat sijil itu telah dibangunkan oleh satu kumpulan panel pakar yang terdiri daripada para wakil industri media – cetak dan penyiaran – ┬ádan ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi tempatan tahun lalu. Datuk Dr. Chamil adalah antara ahli panel pembangunan NOSS itu.

Rombongan empat orang pegawai NOSS dalam lawatan ke MPI itu  terdiri daripada Pengarah Bahagian Kerjasama Strategik Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Dr. Mohd Yusoff bin Abu Bakar, Tuan Haji Omar bin Jusoh, Pengarah NOSS, Puan Nurhayati binti Niaz Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Puan Siti Hasmah Mustapha, Ketua Penolong Pengarah NOSS.

Selain Datuk Dr. Chamil, MPI diwakili oleh Pengurus Hal Ehwal Korporatnya, Puan Norlida Jamain dan Penolong Pengurus Latihan, Puan Norhafizah Kamaludin pada pertemuan itu.

Dalam taklimat kepada MPI itu, pihak NOSS memaklumkan ada dua cara untuk membolehkan MPI menawarkan program Sijil Kemahiran Kewartawanan Malaysia NOSS itu.

Pertama, melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan kedua dengan MPI menjadi pusat latihan bertauliah sebagai penyedia kursus dengan NOSS. Kedua-kedua kaedah itu mempunyai syarat-syarat tersendiri yang perlu dipenuhi oleh MPI.

Melalui program SLDN pembelajaran adalah kombinasi teori (30 peratus) dan latihan amali dengan pihak industri media sebanyak 70 peratus.

Sekiranya MPI berdaftar sebagai pusat latihan bertauliah dengan NOSS, proses pembelajaran akan dilakukan sepenuhnya secara teori dan pratikal di MPI.

Setiap pelajar yang mengikuti program boleh memohon pinjaman sebanyak RM5,000.00 setahun yang disediakan oleh sebuah tabung khas Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia untuk membiayai yuran pengajian dan elaun saku bulanan.

Secara sepenuh masa, Sijil Kemahiran Kewartawanan Malaysia NOSS itu mengambil masa satu tahun setengah untuk disempurnakan.

Program itu terbuka kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, tetapi berhasrat untuk mempelajari bidang kewartawanan asas. Kemahiran yang diperoleh akan membantu mereka menjadi blogger yang bertanggungjawab sekiranya mereka ingin memulakan blog sendiri.

Pada peringkat ini, NOSS hanya menawarkan program bidang kewartawanan pada peringkat sijil tetapi membayangkan kemungkinan untuk mewujudkan program yang sama, dan lebih khusus pada peringkat diploma dan diploma lanjutan.

Bagaimanapun dinyatakan bahawa program-program NOSS lebih  menekankan kepada aspek praktikal, bukannya akademik seperti yang diajar di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta lain.

1. Puan Norhafiza (kiri) menerima cenderhati kenangan dari Puan Siti Hasmah binti Mustapha, Ketua Penolong Pengarah NOSS (Unit Perundingan), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

2. Tuan Haji Omar bin Jusoh (kiri) dan Dr. Mohd Yusoff bin Abu Bakar, tekun mendengar taklimat mengenai MPI.

3. Datuk Dr. Chamil Wariya (menghadap kamera berbaju putih) memberi penerangan kepada pegawai-pegawai Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia mengenai fungsi MPI sebagai penyedia kursus kewartawanan jangka pendek untuk golongan wartawan Malaysia di MPI pada 13 Julai 2015.

4. Bergambar kenangan pada akhir pertemuan. Dari kiri: Puan Norlida, Puan Norhafiza, Puan Siti Hasmah, Puan Nurhayati Niaz Ahmad, Tuan Haji Omar, Datuk Dr. Chamil dan Dr. Mohd Yusoff.

5. Datuk Dr. Chamil (kiri) menyampaikan buku-buku MPI sebagai tanda kenangan kepada Dr. Mohd Yusoff.

6. Datuk Dr. Chamil (kanan) menerima cenderahati kenangan daripada Tuan Haji Omar (kanan).