Pasport Keselamatan Media: MPI puji NIOSH

Malaysian Press Institute (MPI) memuji usaha Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperkenalkan program latihan Pasport Keselamatan Media atau Media Safety Passport (MSP) yang bertujuan untuk mendidik para pengamal media dengan amalan-amalan terbaik dalam menilai risiko yang mereka hadapi sewaktu membuat liputan di lapangan terutamanya di tempat-tempat bergolak.

Pujian khusus MPI diberikan kepada Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye yang telah mendayakan usahakan program tersebut yang merupakan program pertama seumpamanya di negara ini.

Pujian MPI itu disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr. Chamil Wariya kepada Tan Sri Lee pada majlis pelancaran MSP yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2019.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tan Sri Lee sendiri.

Program latihan MSP merupakan modul e-pembelajaran hibrid di mana para peserta boleh belajar secara dalam talian sebelum mereka menghadiri kelas dan mengambil peperiksaan untuk mendapatkan passport keselamatan.

Modul pembelajaran hibrid itu diperkenalkan setelah mengambil kira semua masalah yang dihadapi oleh organisasi media dan  dengan itu bersedia untuk menganjurkan kelas-kelas di premis media jika mereka mempunyai jumlah minimum peserta yang diperlukan.

Dalam ucapan sewaktu melancarkan program MSP, Lee memberitahu: “Modul ini juga sangat unik kerana ia boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa berdasarkan maklumbalas terbaharu daripada organisasi medi pihak berkepentingan lain.”

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah pengerusi Astro Malaysia Holdings Bhd Tun Zaki Tun Azmi, pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, pengerusi Institut Akhbar Malaysia Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Akademi Keselamatan dan Penjagaan Kecemasan (ASEC) Wong Wee Zhee dan Khairunnizam Mustapa yang merupakan pengurus besar Bahagian Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan NIOSH.

Lee berharap organisasi media dan institusi berkaitan dapat tampil ke hadapan untuk berkongsi maklumbalas mereka supaya NIOSH dapat meningkatkan modul latihan MSP agar dapat memberi manfaat kepada pengamal media terutamanya yang berada di lapangan.

Ketika membangunkan modul MSP, beliau berkata NIOSH turut mendapat kerjasama dan sokongan pelbagai pihak terutamanya MPI dan organisasi media.

Beliau berkata program pasport keselamatan merupakan kursus induksi mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan(KKP) dan ia dilaksanakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk minyak dan gas, telekomunikasi, penjanaan dan pembekalan tenaga serta operasi lebuh raya.

Malangnya, beliau berkata ia belum dilaksanakan dalam kalangan organisasi media.

Selepas kejadian yang meragut nyawa jurukamera Bernama TV di Somalia pada tahun 2011, Lee berkata NIOSH telah memberikan maklumbalas untuk membantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menerbitkan Garis Panduan untuk Profesional Media.

Dalam kejadian tragis itu,  Noramfaizul Mohd Nor terbunuh akibat terkena peluru sesat ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan di Mogadishu pada 2 Sept 2011.

“Malangnya, selepas insiden maut tersebut kita masih dapat melihat petugas media dihantar ke kawasan berisiko dan berbahaya tanpa peralatan perlindungan atau pengetahuan yang mencukupi mengenai risiko yang akan mereka hadapi.

“Di antara kes-kes yang menimbulkan kebimbangan ialah pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang apabila pemberita, jurugambar dan jurukamera terdedah kepada gas beracun,” katanya.

Lee berkata beliau turut bertemu ramai wakil media yang terjejas dengan pencemaran di Sungai Kim Kim dan melawat seorang jurugambar yang dimasukkan ke hospital ketika membuat liputan kejadian tersebut.

“Saya juga amat bimbang apabila dimaklumkan  wartawan, jurugambar dan jurukamera  turut terdedah kepada bahan kimia VX ketika membuat liputan kes pembunuhan individu berprofil tinggi dari Korea Utara pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata kes-kes sedemikian seharusnya membuka mata organisasi media mengenai isu kekurangan perlindungan yang diberikan kepada kakitangan mereka.

“Berdasarkan pemerhatian saya, amalan KKP yang baik dalam kalangan pengamal media masih rendah dan tahap kesedaran mereka perlu ditingkatkan.

“Lebih mengecewakan apabila masih ada majikan yang menganggap amalan KKP yang baik sebagai isu remeh dan tidak berminat untuk melaksanakannya dalam organisasi media masing-masing,” katanya.

Di majlis tersebut, Lee turut menyampaikan anugerah khas kepada Tun Zaki untuk mengiktiraf inisiatif syarikat itu yang menjadi organisasi penyiaran pertama yang melaksanakan program latihan pasport keselamatan.

Sejak diperkenalkan pada 18 Mac tahun ini, lebih daripada 2,000 peserta  telah mendapat Pasport Keselamatan NIOSH-Astro, yang memberikan tumpuan kepada pemasang sistem Astro dan kakitangan teknikal lain.

Terdahulu, lebih daripada 100 pengamal media dan mereka dari organisasi berkaitan menyertai program perintis MSP di KLCC.

Tetamu kehormat majlis dibarisi (dari kiri) Datuk Dr. Chamil Wariya, Tun Zaki Tun Azmi, Tan Sri Lee Lam Thye, Datuk Azman Ujang, dan Khairunnizam Mustapa.
Tun Zaki memberi ucaptama kepada para hadirin majlis.
Tun Zaki menerima Anugerah Khas bagi pihak Astro atas inisiatif organisasi pertama melaksanakan program keselamatan media.
Tan Sri Lee, semasa menyampai ucapannya, mengajak para pengamal media mengambil peluang mengikuti program keselamatan yang dianjur oleh NIOSH
Majlis disajikan dengan sketsa cemas di tempat kemalangan
Pelancaran Pasport Keselamatan Media dirasmikan oleh Tan Sri Lee Lam Thye sambil disaksikan oleh para tetamu kehormat.
Para tetamu kehormat memeriksa peralatan keselamatan di pameran yang tersedia.
Tan Sri Lee memberi penerangan mengenai Pasport Keselamatan Media pada sidang media