MPI sambut baik keputusan Kerajaan naikkan Geran Tahunan kepada RM500,000

logo MPI

KENYATAAN MPI

Kerajaan bersetuju untuk menaikkan geran tahunan yang disalurkan kepada MPI sebanyak RM300,000 menjadi RM500,000 mulai tahun ini.

Kuantum geran yang diberi kini adalah sebanyak RM200,000 setahun.


Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya menyambut baik keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menaikkan geran tahunan kepada RM500,000.

“Inshaa ALLAH, MPI akan menunaikan harapan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang ingin kita memperbanyakkan kursus-kursus kewartawanan digital yang merupakan kemahiran yang amat penting dimiliki oleh para wartawan hari ini”, katanya.

“MPI akan mendayausahakan penceramah terbaik dalam dan luar negara untuk mengendalikan kursus kewartawanan digital ini”, tambahnya.

Persetujuan kerajaan ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia 2016 pada 20 Mei 2016.

Beliau memberitahu “saya telah mendapat persetujuan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak untuk menambah geran yang disalurkan oleh pihak Kementerian sebanyak RM300,000 menjadikannya kepada RM 500,000 bagi membantu MPI memperhebatkan kursus-kursus kewartawanan digital kepada para wartawan di Negara ini”.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid turut memuji MPI kerana selama ini banyak mendayausahakan kursus-kursus kenegaraan kepada pengamal media di Negara ini. Beliau mengharap dengan penambahan geran ini lebih banyak kursus boleh dianjurkan oleh MPI terutamanya kursus berkaitan kewartawanan digital yang merupakan platform penting untuk menyebarkan maklumat kepada khalayak.

Kursus mendedahkan wartawan arus perdana dan konvensional dengan kewartawanan digital ini adalah penting supaya mereka kekal di barisan hadapan dalam menyampaikan sesuatu berita kepada msyarakat bagi mempastikan etika serta tata cara penyampaian tidak lenyap ditelan ledakan media alternatif.

“Jika media konvensional tidak dapat mendakap perubahan ini apabila generasi Y bertukar kepada kepada generasi Z dan seterusnya generasi Alfa, penyampaian serta analisis berita akan bertukar sehingga menenggelamkan aspek etika dan tatacara sedia ada.

“Sebab itu media konvensional dan arus perdana harus menerobos cabaran ini dengan kekal berada di barisan hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2016 di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Naib Presiden Eksekutif dan Hiliran Petronas, Md. Arif Mahmood.

MPI adalah sebuah institut latihan yang ditubuhkan pada 28 September 1966 bertujuan untuk melatih para wartawan dengan nama asalnya South East Press Center (SEAPC). Pada 1974, namanya ditukar kepada Institut Akhbar Malaysia (IAM) dan pada April 2007 dinaiktaraf kepada sebuah yayasan dengan nama Malaysian Press Institute (MPI).

Kerajaan terlibat secara langsung dalam penubuhan MPI ini. Ia mula menyalurkan geran kepada IAM bernilai RM 50,000 setahun, berikutan keputusan Press Foundation of Asia (PFA) untuk menamatkan pembiayaan yang disalurkan kepada SEAPC. Geran itu kemudian dinaikkan menjadi RM 100,000 dan seterusnya RM200,000 untuk menampung sebahagian daripada kos operasi MPI.

May 25 TPMYAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika menyampaikan ucaptama pada Malam Wartawan Malaysia 2016

Dikeluarkan pada :

25 Mei 2016