USM lantik CEO MPI sebagai Post-Doctoral Fellow

Universiti Sains Malaysia (USM) mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya, yang dianugerahi ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen USM ke-51 pada 25 April 2015 akan dilantik sebagai Felo Pasca Doktoral di universiti berkenaan.

Pengumuman ini dibuat oleh Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pada satu sidang akhbar selepas sidang pertama penyampaian ijazah kepada 262 graduan PhD USM disempurnakan oleh Canselor USM iaitu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Inilah skrol dan tanskrip ijazah PhD yang diterima oleh Datuk Dr. Chamil Wariya daripada Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 25 April 2015. Chamil disahkan lulus dan memenuhi segala keperluan untuk menerima ijazah tertinggi dalam bidang akademik itu oleh Senat USM pada 24 November 2014.

Datuk Dr. Chamil yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan terkejut dengan pengumuman itu, tetapi menzahirkan terima kepada kepada USM atas tawaran itu yang beliau anggap sebagai penghargaan tinggi untuk komuniti wartawan Malaysia.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar USM, Profesor Dr. Adnan Husin.

Profesor Dato’ Dr. Omar memberitahu, formaliti pelantikan akan dibuat kemudian dan beliau menyerahkan kepada Datuk Dr. Chamil bila untuk menerima tawaran itu.

“Kedudukan ini akan membolehkan Dr. Chamil meneruskan kerja-kerja penyelidikan dalam bidang kewartawanan di samping memanfaatkan kepakaran dan pengalaman beliau dalam membantu menjenamakan Pusat Pengajian Komunikasi USM,” kata beliau.

Naib Canselor USM itu juga memuji Datuk Dr. Chamil atas kejayaan beliau menyempurnakan ijazah PhDnya dalam masa tidak sampai tiga tahun atau apa yang dipanggil sebagai graduate on time (GOT).

“Kejayaan ini menunjukkan Chamil, yang sudah berusia 62 tahun, yang merupakan graduan ‘paling muda’ hari ini, mempunyai disiplin yang tinggi dalam menyiapkan ijazah PhDnya. Kejayaan beliau juga adalah bukti umur bukan penghalang untuk seseorang menimba ilmu, ” kata Profesor Dato’ Dr. Omar.

Pada sidang akhbar itu, Datuk Dr. Chamil berkata ekosistem pembelajaran yang kondusif di USM dan kepakaran tenaga akademiknya dalam bidang komunikasi telah membolehkan beliau melakukan kerja-kerja penyelidikan dengan baik.

Program komunikasi USM diiktiraf sebagai antara yang terbaik. Dari segi penarafan antarabangsa, ia berada dalam tangga ke 100; pada peringkat Asia Tenggara, USM berada dalam kelompok kelima teratas.

Datuk Dr. Chamil merakamkan penghargaan kepada semua kalangan yang telah membimbing beliau selama belajar di USM. Ini termasuklah bekas Dekan Pusat Pengajian Komunikasi (kini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Adnan Husin, dekan sedia ada, Profesor Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad dan penyelia tesis beliau, Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff dan Dr. Nik Norma Nik Hasan serta para pensyarah lain yang senantiasa menyediakan waktu mereka untuk mengadakan perbincangan.

“Tanpa tunjuk ajar dan bimbingan mereka, saya tidak akan dapat menjadi pelajar berstatus graduate on time,” kata Datuk Dr. Chamil.

Beliau berharap kejayaannya menyiapkan ijazah PhD pada usia 62 tahun akan merangsang golongan wartawan yang memang mempunyai kemahiran menulis dan melakukan penyelidikan, selain gemar membaca untuk mengikut jejaknya melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana atau PhD secara penyelidikan.

“Apa yang kita perlukan adalah tunjuk ajar dan bimbingan untuk menulis secara akademik, yang memang berbeza dengan penulisan kewartawanan. Tenaga akademik di USM boleh menghulurkan bimbingan itu,” terang Datuk Dr. Chamil.

Bagaimanpun beliau menegaskan walaupun orang akademik boleh membantu kita, tetapi akhirnya terpulang kepada komitmen, disiplin dan kegigihan diri kita sendiri.

Datuk Dr. Chamil memberitahu: “Tidak ada kejayaan yang akan datang menggolek, tanpa usaha. Ibarat kuda, kita boleh membawanya ke tepi sungai, tetapi jika kuda berkenaan tidak mahu meminum air, tidak ada apa yang boleh kita lakukan.”

Datuk Dr. Chamil mendaftar sebagai pelajar PhD di USM pada awal Mac 2012 dan menyerahkan tesisnya yang berjudul Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik pada Jun 2014. Beliau menjalani ujian lisan pada 30 September tahun yang sama dan disahkan lulus dengan pembetulan minor pada hari yang sama.

Tesis mutakhir Datuk Dr. Chamil yang merupakan penelitian terhadap ucapan-ucapan politik yang disampaikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak di Perhimpunan Agung UMNO atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Timbalan Presiden UMNO Malaysia dan Presiden UMNO Malaysia, antara 1988 hingga 2013, telah diserahkan pada 20 Oktober 2014.

Senat USM pada mesyuaratnya pada 24 November 2014 mengesahkan Datuk Dr. Chamil lulus dan memenuhi keperluan untuk dianugerahi ijazah PhD.

Datuk Dr. Chamil menggunakan kerangka teori kritikan pemujukan neo-klasikal atau neo-Aristotlelian yang diasaskan oleh pemikir Greek, Aristotle, untuk melakukan kajiannya terhadap ucapan-ucapan Najib itu.

1. Datuk Dr. Chamil (tengah) berbual mesra dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman (kanan) sebelum memulakan persidangan akhbar selepas majlis Konvokesyen USM ke-51 pada 25 April 2015. Datuk Dr. Chamil adalah antara 262 yang menerima ijazah PhD pada majlis itu. Turut memerhatikan adalah Presiden Batam International University (tiga kiri), Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar USM, Profesor Dr. Adnan Husin (dua kiri) dan Dekan Pusat Pengajian Perniagaan USM (kiri).

2. Tiga gambar di bawah:

Datuk Dr. Chamil, mengenakan pakaian rasmi penerima ijazah PhD bergambar kenangan selepas majlis konvoksyen ke-51 di USM Pulau Pinang pada 25 April 2015.

image5a

3. Datuk Dr. Chamil (tiga kanan) diraikan pada majlis makan malam di Penang Mutiara Seafood, Batu Maung, Pulau Pinang sempena penganugerahan ijazah Doktor Falsafah pada 25 April 2015. Turut hadir: Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad (dua kanan), timbalan dekan, Dr. Nor Suhadah (kanan) dan penyelia utama, Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff (dua kiri).