UUM lantik Chamil Ahli Jawatankuasa IPDM

Universiti Utara Malaysia (UUM) melantik Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya sebagai Ahli Jawatankuasa Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) berkuatkuasa September lalu.

Pelantikan itu dibuat oleh Naib Canselor UUM mengikut Statut IPDM perkara 7: 2(e). Di bawah peruntukan statut itu, Naib Canselor diberi kuasa melantik tiga orang Ahli Jawatankuasa IPDM yang fungsi utamanya adalah “untuk menetapkan dasar Institut dan memberikan arahan serta garis panduan pelaksanaan aktiviti Institut.”

Salah seorang Ahli Jawatankuasa IPDM yang dilantik itu boleh terdiri daripada seorang yang bukan warganegara Malaysia.

Pelantikan Chamil itu dimaklumkan oleh Pengarah IPDM, PPjR Dr. Haji Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dalam sepucuk surat bertarikh 30 Ogos 2015. SILA TEKAN SINI

IPDM yang ditubuhkan atas kelulusan Kabinet pada 19 Ogos 2003. Pemakluman penubuhannya dinyatakan dalam sepucuk surat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 19 Ogos tahun yang sama.

IPDM yang diletakkan di UUM adalah pusat bertaraf kebangsaan yang dijadikan pusat rujukan utama pemikiran Perdana Menteri – Perdana Menteri dan tokoh-tokoh negara.

Chamil merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mustapa Ishak atas pelantikan tersebut dan berjanji insya-Allah untuk membantu IPDM “menyebarkan idea tokoh-tokoh negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”

Beliau juga berharap semasa berkhidmat dengan IPDM akan memberi peluang untuk beliau menghasilkan buku mengenai kepimpinan politik Malaysia.

Sebagai langkah permulaan, beliau telah menyumbang buku-buku yang beliau hasilkan mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan juga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta karya-karya lain beliau mengenai kenegaraan kepada IPDM.

          Antara buku mengenai Najib yang disumbangkan ialah: Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik; Najib Razak: Pendakian ke Puncak Kuasa; The Prime Minister of Malaysia; In His Own Right: Najib Razak and Malaysian Politics. Buku-buku mengenai Abdullah pula berjudul Naik, Jatuh dan Bangun Semula, Potret Peribadi Abdullah Ahmad Badawi.

          Sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa IPDM, Chamil pernah berkhidmat sebagai Penyelidik Kunjungan, Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM)  di Pulau Pinang selama setahun dan sebelum itu sebagai Karyawan Tamu di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) di Nilai Negeri Sembilan.