Terima kasih dan sokong terus MWM
Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada Malam Wartawan Malaysia 2018 jam 8.30 malam Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2018.
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat datang ke Malam Wartawan Malaysia 2018.
Izinkan saya pertama-tamanya untuk mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia, dan isteri, Datin Nolin Shamsul Bahri, selaku tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia edisi 2018.
Saya dan rakan-rakan Lembaga Pemegang Amanah dan Majlis Pentadbir MPI, amat menghargai kesudian YB Datuk dan YBhg Datin untuk bertandang ke majlis tahunan anjuran MPI ini, yang diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS, kali ini bagi karya-karya yang dihasilkan sepanjang 2017.
Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran:
- YBhg Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS. Untuk makluman PETRONAS adalah penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS sejak 1994. Terima kasih Tan Sri.
- Tokoh-tokoh Wartawan Negara – Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk A.Kadir Jasin dan Datuk Ahmad Rejal Arbee. Tahun ini pihak penganjur memberi penghormatan kepada mereka untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Seorang lagi Tokoh Wartawan Negara, Datuk CC Liew, tidak dapat hadir kerana sedikit uzur dan beliau meminta saya menyampaikan salam takzimnya kepada semua.
- Tan Sri Dr. Rais Yatim, mantan menteri penerangan yang banyak membantu MPI sampai ke tahap sedia ada sewaktu beliau menerajui Kementerian Penerangan; Komunikasi dan Kebudayaan, sebelum ia kekal dengan nama sekarang Kementerian Komunikasi dan Multimedia;
- Tidak dilupakan sahabat saya Ybhg Datuk Yong Soo Heong, ketua panel hakim HKM 2017 serta barisan panel hakim bebas yang lain. Panel hakim terdiri daripada para wartawan veteran dan berpengalaman serta ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan dan media;
- Para peneraju media dan pemimpin editorial
- Para penyumbang dan penaja Malam Wartawan Malaysia
- Para wartawan, tuan-tuan dan puan-puan.
Bagi fraterniti kewartawanan Malaysia, kehadiran malam wartawan, yang pertama kali dianjurkan pada penghujung 1981, memang senantiasa dinanti-nantikan. Mereka tidak sabar-sabar untuk mengetahui siapakah dalam kalangan mereka yang akan dinobatkan sebagai pemenang bagi 20 kategori yang dipertandingkan dan siapa pula dalam kalangan 20 pemenang itu akan diangkat sebagai penerima Hadiah Kajai yang akan membawa pulang wang tunai RM30,000, sijil dan trofi.
Bagi kategori lain, hadiah wang tunai RM10,000 menanti pemenang utama; manakala dua pemenang sagu hati bagi setiap kategori membawa pulang RM1,000. Sekiranya terdapat pemenang bersama atau karya yang dimenangi dihasilkan secara kerja berpasukan oleh dua wartawan atau lebih bagi kategori yang disertai, maka hadiah wang tunai bagi kategori berkenaan akan dibahagi samarata dalam kalangan mereka. Tetapi saya percaya bagi sebahagian besar mereka, bukan ganjaran kewangan yang menjadi buruan, tetapi pengiktirafan terhadap karya-karya yang dihasilkan. Sebab itu mereka berlumba-lumba untuk menghantar penyertaan masing-masing, walaupun pihak MPI mengenakan sedikit yuran bagi menampung honorarium yang dibayar kepada panel hakim.
Buktinya: Bagi HKM 2017, pihak sekretariat menerima sebanyak 349 penyertaan, berbanding 216 bagi HKM 2016 iaitu peningkatan sebanyak 133 penyertaan atau hampir 40 peratus. Untuk makluman juga penyertaan ini terbuka kepada semua media di alam maya dan di alam nyata.
Akhir sekali bagi pihak Malaysian Press Institute (MPI) saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pelbagai entiti yang telah bekerjasama untuk menjayakan majlis tahunan yang pertama kali dianjurkan pada 1982. Ini termasuklah agensi-agensi kerajaan Persekutuan, badan-badan korporat, industri media itu sendiri dan invidividu yang prihatin untuk melihat acara tahunan diadakan dengan jayanya.
Senarai para penyumbang yang telah secara bermurah hati menyampaikan sumbangan masing-masing dicatatkan dalam buku cenderahati. Kepada semua, terimalah pantun ini sebagai terima kasih MPI yang tidak bertepi:
Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.
Tentunya MPI tidak akan melupakan peranan besar PETRONAS, yang bertindak sebagai penaja hadiah wang tunai bernilai RM300,000 bagi dibawa pulang oleh para pemenang HKM2017. Saya ingin mengucapkan terima kasih khusus kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin atas persetujuan beliau untuk menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 2017 hinggalah 2019.
Saya juga berterima kasih kepada Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik PETRONAS Puan Zahariah Abdul Rahman, Pengurus Besar Perhubungan Media PETRONAS, Encik Joseph Edwin dan pegawai-pegawai lain di bawah beliau yang telah bertungkus lumus membantu MPI untuk menjayakan acara tahunan ini.
Sebagai sebuah yayasan yang tidak bermotifkan keuntungan, MPI senantiasa mengalu-alukan sumbangan kewangan yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk membiayai tiga kegiatan terasnya: menyediakan latihan kewartawanan, menganjurkan anugerah kewartawanan dan juga menerbitkan buku-buku kewartawanan.
Kepada para pemenang utama dan sagu hati, tahniah saya ucapkan dan mereka bolehlah menuntut cek hadiah kemenangan masing-masing di kaunter-kaunter yang disediakan di luar dewan ini sebaik sahaja majlis pada malam ini berakhir.
Sebelum berundur bagi pihak rakan-rakan Lembaga Pemenang Amanah dan Majlis Pentadbir MPI, yang bertindak sebagai Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2018 serta seluruh warga MPI, memohon ampun dan maaf bagi apa juga kekurangan dan kelemahan penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2018.
Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kita bertemu pada Malam Wartawan Malaysia 2019.