Bengkel Berhadapan Kamera Pegawai Japen di studio MPI Cyberjaya

Bengkel Tampil Berwibawa di Hadapan Kamera khusus untuk pegawai-pegawai Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) berlangsung dengan jayanya di Studio MPI di Cyberjaya pada 5 Julai 2019 lalu.

Ini adalah kali pertama Studio MPI yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan terkini penyiaran digunakan untuk mengendalikan program tersebut.

Peralatan Studio MPI itu juga berupaya untuk menganjurkan kursus-kursus berkaitan dengan bidang penyiaran lain seperti kewartawanan multimedia, pelaporan berita televisyen, pembikinan dokumentari video, penyampaian berita yang sedang dalam perancangan pihak latihan MPI untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Studio MPI itu juga dilengkapi dengan kemudahan untuk membimbing kalangan yang ingin menjadi pengantara atau hos pelbagai program-program bual bicara ehwal semasa.

Bagi bengkel Berhadapan Kamera yang pertama itu, 11 orang peserta yang terdiri daripada penolong pengarah JAPEN telah menimba pengalaman pertama untuk menjadikan mereka kelihatan berwibawa apabila diperlukan untuk bertindak sebagai jurucakap jabatan melalui program TV.

Rata-rata mereka berpuas hati dengan pendedahan dan tunjuk ajak yang diberikan, walaupun pada mulanya mereka ragu-ragu apakah kegunaan latihan yang disediakan kepada mereka.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya mengapa pihak jabatan menghantar saya untuk mengikuti latihan ini. Tetapi setelah melaluinya saya faham mengapa. Sekurang-kurang kalau ada keperluan untuk saya ditemuramah oleh wartawan TV bagi pihak jabatan, saya akan lebih bersedia. Selain itu, ilmu berguna yang saya peroleh semasa mengikuti latihan itu juga saya panjangkan kepada bos-bos saya di Jabatan Penerangan” kata salah seorang peserta, Encik Mohd Abd Hafiz bin Awang.

Pembimbing bengkel tersebut ialah Yusanani Yushak, mantan wartawan siaran dan peneraju program Buletin Utama TV3. Beliau juga pernah berkhidmat dengan Kementerian Penerangan (sekarang Kementerian Komunikasi dan Multimedia) sebagai perunding persembahan di Jabatan Penyiaran Malaysia.

Berikut merupakan rangkuman foto-foto peserta bagi sesi teori & latihan praktikal selama sehari berbengkel di studio MPI bersama Yusanani Yushak & ucapan penutup oleh Datuk Dr Chamil Wariya: