24 sertai Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia MPI

Kuching 13 Februari: 24 orang pengamal media menyertai Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia anjuran MPI dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Sarawak di Kuching selama dua minggu mulai hari ini hingga 25 Februari 2012.

Majlis perasmian telah dilakukan oleh Menteri Muda Perindusterian merangkap Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Sarawak, Tuan Haji Juhaili Narawi yang mewakili Menteri Tugas-tugas Khas di pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Adnan Satem di Hotel  Margherita.

Selama dua minggu menyertai program itu para peserta yang terdiri daripada mereka yang berusia 30 tahun ke bawah  akan didedahkan dengan pelbagai aspek kewartawanan. Ini termasuk mendedahkan mereka dengan teknik penulisan berita dan rencana, di samping melengkapkan mereka dengan panduan untuk menghadapi persidangan media.

Selain itu, mereka turut didedahkan dengan ilmu dan pengetahuan kenegaraan khususnya bagaimana tiga kuasa negara iaitu eksekutif, legislatif dan judisiari berfungsi.

Mereka juga berpeluang untuk berdialog dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar yang sebelum ini pernah memangku tugas Yang di-pertua Negeri Sarawak selama tiga bulan.

Mereka juga akan diberi taklimat tentang peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Acryl bin Haji Abdullah Sani dan kemajuan pembangunan negeri Sarawak oleh Timbalan Pengarah, Unit Perancangan Negeri Sarawak, Federick John George.

Para penceramah Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia ini terdiri daripada wartawan-wartawan berpengalaman seperti Dr. Jeniri Amir (mantan Ketua Pengarang Utusan Sarawak, kini pensyarah kanan komunikasi Universiti Malaysia Sarawak),  Zainon Ahmad (the Sun), Datuk Ahiruddin Atan (bloger dan juga wartawan veteran), T. Selva (The Star), Ramli Abdul Karim (Utusan Malaysia), Zainal Abdul Halim (mantan jurugambar Reuters).

Dua orang ahli akademik, Profesor Madya Dr. Shamrahayu A Aziz (Universiti Islam Antarabangsa) dan Profesor Salleh Buang (Universiti Teknologi Malaysia)  masing-masing  menyampaikan ceramah tentang Perlembagaan Persekutuan dan fungsi tiga cabang kuasa negara serta media dan undang-undang.

Pada sebelah malam hari pertama Zamalah, para peserta telah diraikan dalam satu majlis Malam Mesra sempena Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sarawak.

Turut hadir pengarang-pengarang kanan organisasi berita Sarawak dan pegawai-pegawai kanan jabatan tersebut.