PM SAHKAN KEHADIRAN TETAMU KEHORMAT MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2020

KENYATAAN MEDIA

Cyberjaya:  Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan kehadiran sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia yang bakal berlangsung pada 21 April 2020, bertempat di Hotel Istana Kuala Lumpur.

Malam Wartawan Malaysia dianjurkan bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2019 (HKM 2019).

Kehadiran YAB Perdana Menteri disahkan oleh beliau melalui sepucuk surat bertarikh 20 Januari 2020 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Sulit, YBhg Tan Sri Badariah Arshad. Tekan sini untuk surat rasmi.

Selain menyampaikan ucaptama kepada komuniti wartawan yang akan hadir pada majlis itu, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad juga akan menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang HKM 2019.

Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2020, Datuk Dr. Chamil Wariya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPI merakamkan penghargaan atas kesudian YAB Perdana Menteri memenuhi undangan dan memeriahkan Malam Wartawan Malaysia yang penganjurannya bermula pada 1981.

Lapan ratus (800) orang tetamu, sebahagian besar terdiri daripada para pengarang kanan dan wartawan organisasi media dijangka hadir pada Malam Wartawan Malaysia 2020.

Para pemenang dan penerima hadiah sagu hati yang akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300,000 tajaan PETRONAS akan hanya diketahui pada malam 21 April 2020.

Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, sebuah trofi eksklusif dan sijil manakala penerima hadiah sagu hati iaitu dua  penerima bagi setiap kategori, akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil.

Manakala penerima Hadiah Kajai bakal membawa pulang ganjaran wang tunai RM30,000, trofi dan sijil. Hadiah Kajai adalah anugerah tertinggi dipertandingkan dalam HKM.

HKM pertama kali diperkenalkan pada 1980 dan sejak 1994 hadiah wang tunai ditaja oleh PETRONAS.

Dikeluarkan pada :

22 Januari 2020