MPI terima sumbangan RM674,500 jayakan Malam Wartawan Malaysia 2017

dikemaskini pada 4 April 2017, jam 1.25 petang

logo MPIUcapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis penyerahan sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2017 di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, jam 12 tengah hari 4 April 2017.

Bagi pihak rakan-rakan dalam Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2017,  dan Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI), saya ingin mengucapkan selamat datang ke majlis penyerahan sumbangan bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2017. Insya-Allah Malam Wartawan Malaysia kali ke-36 ini akan diadakan pada 21 April 2017 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada jam 8 malam. Malam Wartawan pertama kali diadakan pada 16 September 1981.

Bagi majlis tahun ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah mengesahkan kehadirin mereka untuk memeriahkan malam tersebut yang kita adakan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016.

Saya amat bersyukur kerana dalam ekonomi yang mencabar pada waktu ini, sahabat-sahabat korporat dan media MPI, terus bermurah hati untuk menyalurkan sumbangan masing-masing bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2017.

Hadir bersama kita tengah hari ini untuk menyampaikan sumbangan masing-masing sebentar lagi ialah wakil daripada 30 organisasi yang bersetuju untuk menghulurkan sumbangan tersebut. Saya difahamkan 62 orang sahabat korporat MPI, mewakili organisasi masing-masing telah meluangkan waktu dalam kesibukan tugas seharian di pejabat masing-masing untuk berada di Saloma Bistro ini bagi menjayakan penyerahan sumbangan.

Kami di MPI amat menghargai kehadiran YBhg Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Hanya Allah SWT sahaja yang berupaya membalas budi baik anda itu.

Sukacita saya maklumkan sehingga hari ini (4 April), jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul berjumlah sebanyak RM374,500. Pecahan sumbangan itu adalah seperti berikut:  penajaan/pembelian meja sebanyak 42 buah meja iaitu 9 buah organisasi berita dan 31 buah syarikat korporat. Selain itu, kami juga menerima sumbangan kewangan daripada pelbagai entiti yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan orang perseorangan  sebanyak RM32,000.  Sila tekan sini untuk senarai penuh.

Jumlah RM374,500 bagi MWM 2017 itu adalah rendah sedikit berbanding dengan sumbangan yang kami terima untuk Malam Wartawan Malaysia 2016. Tahun lalu, kami menerima sumbangan sebanyak RM385,000. Bagi tempoh 10 tahun antara 2008 hingga sekarang, kutipan yang kami terima itu adalah yang kedua terendah, barangkali mencerminkan kedudukan ekonomi negara pada waktu ini. Kami berjanji bahawa sumbangan tersebut akan dimanfaatkan seoptimumnya untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2017 itu.

Dan dengan hela nafas yang sama, MPI juga ingin merakamkan terima kasih kami kepada PETRONAS yang pada majlis ini diwakili oleh Pengurus Besar, Jabatan Perhubungan Media, Kumpulan Strategiknya, kerana bersetuju untuk terus menaja ganjaran wang tunai sebanyak RM300,000 yang bakal diterima oleh para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016. PETRONAS adalah penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia anjuran MPI sejak 1994. Tentulah kami berharap penajaan ini akan diteruskan tahun hadapan dan seterusnya.

Saya juga ingin memaklumkan bagi HKM 2016, kami menerima 291 penyertaan  bagi 20 kategori yang dipertandingkan. Penilaian karya-karya kewartawanan yang menyertai HKM 2016 kini memasuki pusingan kedua. 5 calon teratas bagi setiap kategori pusingan kedua telah dikenal pasti, dan mereka layak untuk memasuki pusingan akhir.  Senarainya akan kami paparkan di halaman web MPI sebaik sahaja disahkan oleh sebuah panel hakim bebas yang diketuai oleh Datuk Yong Soo Heong, mantan Ketua Pengarang/Pengurus Besar Agensi Berita Nasional, Bernama. Para hakim HKM pula terdiri daripada para wartawan kanan veteran dan ahli-ahli akademik dalam bidang media dan kewartawanan.

Salah seorang daripada 5 peserta yang memasuki pusingan akhir itu kelak akan dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori yang disertai dan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sebuah trofi dan sijil, manakala yang menduduki tempat kedua dan ketiga akan menerima sagu hati sebanyak RM1,000 dan sijil, semuanya tajaan PETRONAS. Karya terbaik dalam kalangan penyertaan pula akan diangkat sebagai penerima Hadiah Kajai yang akan membawa pulang RM30,000, trofi dan sijil.

Selain Perdana Menteri, pihak MPI juga akan memberi penghormatan kepada sebilangan peneraju editorial secara bergilir-gilir untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang HKMI MPI PETRONAS 2016. Tahun lalu penghormatan itu kita beri kepada ketua-ketua eksekutif media.

Buat pertama kalinya pada Malam Wartawan Malaysia 2017, panel hakim juga akan memilih seorang Tokoh Media. Anugerah ini diberi kepada seorang individu yang telah memainkan peranan yang penting dalam membangunkan organisasi perniagaan media.

Kita juga menerima tiga pencalonan untuk Tokoh Wartawan 2016 dan sekiranya ada penerima, satu majlis berasingan akan diadakan hujung tahun ini untuk menyampaikan anugerah tersebut.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana membenarkan Briged Kesenian Kementerian Dalam Negeri untuk menghiburkan para tetamu Malam Wartawan Malaysia 2017. Empat penghibur bergelar Datuk yang bernaung di bawah Briged Kesenian KDN itu dijangka menyampaikan persembahan masing-masing nanti. Saya juga berterima kasih kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana meluluskan peruntukan khas kepada MPI bagi menjayakan pelbagai aktiviti institut bagi tahun ini.

Sebelum berundur, sekali lagi terima kasih kepda semua, baik yang hadir hari ini atau tidak, atas sumbangan yang diberikan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2017. Tanpa sokongan anda, Malam Wartawan Malaysia 2017 tidak akan menjadi kenyataan. Terima kasih. Wabilahitaufikwalhidayah wasalamulaikum warohmatullahi wabarokatuh.

PENAJA KORPORAT:

  1. Affin Bank Berhad
  2. AmBank Group Berhad
  3. Berjaya Corporation Berhad
  4. Celcom Axiata Berhad
  5. DagangHalal Berhad
  6. Dagang NeXChange Berhad
  7. DRB-Hicom Berhad
  8. Ekuiti Nasional Berhad
  9. EXIM Bank Berhad
  10. Felcra Berhad
  11. Glomac Berhad
  12. Johor Corporation
  13. Kumpulan EMKAY
  14. Kumpulan Perbankan RHB
  15. Lembaga Tabung Haji
  16. MMC Corporation Berhad
  17. MRCB
  18. MTIB
  19. Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan
  20. Permodalan Nasional Berhad
  21. Pharmaniaga Berhad
  22. Prasarana Malaysia Berhad
  23. Prolintas
  24. RISDA
  25. Sime Darby Plantation Sdn Bhd
  26. SME Bank Berhad
  27. Technology Park (M) Corporation
  28. Telekom Malaysia
  29. Tenaga Nasional Berhad
  30. Worldwide Holdings Berhad
  31. Invest Selangor Berhad

 

PENAJA MEDIA:

  1. AlHijrah Media Corporation
  2. BERNAMA
  3. Dewan Bahasa dan Pustaka
  4. Focus Malaysia
  5. IKIM
  6. New Straits Times Press
  7. STAR Media Group Berhad
  8. The Sun
  9. Utusan Malaysia Berhad

 

PENYUMBANG :

  1. Pejabat Ketua Menteri Sarawak
  2. Pejabat Menteri Besar Perak
  3. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
  4. Putrajaya Holdings
  5. Public Bank
  6. FELDA
  7. Ramuan Rimba Sdn.Bhd.
  8. NIKON
  9. FAMA
  10. Snekku
  11. Hai-O Marketing
  12. Imizu Alkaline Water
  13. Mondelez Malaysia Sales Sdn.Bhd.