Zamalah 2013 menggilap kami menjadi permata

Ucapan penghargaan untuk Malaysia Press Institute (MPI) oleh wakil peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2013, Norhashima Jamaluddin yang disampaikan pada majlis penutup program itu pada 25 Januari 2013, jam 9.30 pagi di Kuala Lumpur.

Terlebih dahulu jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan MPI kerana memberi ruang saya mengetuai rakan delegasi Zamalah Wartawan Muda Satu Malaysia bagi tahun ini. Jika sebelum ini panas menjadi rakan, hujan menjadi sahabat, jangan diungkap tatkala banjir melanda, angin taufan mahupun gelongsor tanah dari akar bumi–kamilah wira meredah cuaca alam bagi mendapatkan berita mutakhir untuk dihidangkan kepada umum.

Ini tidak termasuk keghairahan kami selaku wartawan-wartawan unggul yang bertugas tanpa mengira penat lelah dalam mendapatkan skop terbaik — setiap bibit bibit ayat yang dilafaz pemimpin tertinggi hinggalah kepada figura sukan mahupun selebriti panas ia akan menjadi bahan penting sebagai kupasan kami menterjemahkannya demi rakyat memahami hasrat dan naluri mereka.

Namun waktu itu garapan kami sekadar biasa-biasa. Waktu itu kami tidak kenal ,tidak faham juga tidak acuh dengan peri pentingnya seni penulisan yang baik serta tepat untuk dunia akhbar dan penyiaran. Sehinggalah kami dipanggil menyertai zamalah ini oleh para majikan masing masing. Dengan segala kuliah dan bengkel yang dihadiri, ia bagai menyuntik ilmu dan menajam akal untuk kami menyalurkan semangat juang kewartawanan.

Ini kerana barisan penceramah yang diundang di dalam program ini bukan calang-calang kelayakan akademiknya serta rantaian hebat pengalaman masing-masing sama ada di dalam mahupun di luar negara. Selayaknya mereka ini menjadi ikon kami generasi muda.

Menerusi Zamalah Wartawan Muda ini kami berpeluang mencedok pengalaman dan mengamati seni halus penulisan —ilmu menghasilkan karya yang ada jiwanya. Dengan ilmu yang dititip, misalnya teknik triad atau inversi ayat, ajaran Dr Jeniri Amir, yakinlah kami kini mampu menulis warkah sehebat tokoh wartawan Allahyarham Tan Sri Samad Ismail mahupun pemenang Hadiah Kajai yang lain.

Zamalah Wartawan Muda bagi kami umpama sistem pendidikan “pondok” yang melahirkan ‘ULAMA’ terbilang dalam dunia penyiaran mahupun akhbar. Biarpun ia hanyalah program yang sederhana tetapi bagi kami ia berjaya membuka potensi dan menggilap permata. Mana mungkin ditafsir, benar perhitungan seorang tokoh wartawan dunia lahirnya di sini.

Berbalik kepada catatan memori kami di sini, untuk pengetahuan semua, setiap dari kami ada sinarnya, mengenali setiap seorang dari rakan-rakan juga pejuang kewartawanan ini, bagai membuka ensiklopedia yang meneroka kehebatan semesta. Malah kesemua kami ini adalah gabungan unik dengan pelbagai lapangan. Antaranya hebat dalam seni muzik, malah ada yang sudah mempuyai kugiran sendiri, mahir bahasa ketiga, pengasas pertubuhan bukan kerajaan serta turut terlibat aktiviti lasak selam scuba dan motosikal kuasa tinggi.

Benar, tidak ada yang betul dan salah dalam seni. Seni itu subjektif. Ada yang mungkin tidak gemar, suka mahupun cinta dengan apa yang bakal kami tuliskan, paparkan, siarkan atau potretkan. Namun kibaran semangat  kebebasan akhbar yang ditiup Prof Salleh Buang bagai ditanam sudah di benak kami. Kata-kata beliau akan kami jadikan amanah dalam misi kami menulis setiap ketepatan fakta atas nyawa kebenaran. Tuntasnya rangkuman masa kami bersama sepanjang 12 ribu 240 saat dari kuliah sehingga melelapkan mata menerusi program ini, merungkai kata kata Getrude Stein “A writer should write with eyes and a painter should paint with his ears”.

Nyata, sama ada menulis dengan mata pena atau halwa telinga jua sepasang mata, segalanya itu mampu kami sumbangkan atas nawaitu menggelombangkan minda masyarakat. Dengan mata pena kami berdoa agar dapat mewujudkan rakyat yang lestari bagi mengisi sebuah negara maju yang bertamadun tinggi dalam tempoh 8 tahun lagi.

Untuk itu saya sekali lagi mewakili delegasi Zamalah 2013 yang singgah di teratak Institut ini, menanam sepohon rimbun terima kasih atas segala  nasihat, layanan, kemesraan dan dedikasi yang dicurahkan warga institusi ini.

Penghargaan menjulang tinggi kami lantunkan buat YBhg Datuk Chamil Wariya selaku ‘orang terpenting yang membolehkan kami menyertai program ini, para penceramah yang tinggi belaka ilmu dan pengalaman kerjaya, tidak lupa buat Puan Maimunah yang tidak kering keringat dalam menyalurkan tenaga dan berkongsi pengalaman bersama kami warga muda, tidak lupa buat Puan Ambiya dan Puan Fiza yang sabar dan sering tertawa melayan karenah kami yang sentiasa muda dan bertenaga luar biasa.

Harapan kami agar akan wujud pelbagai program lagi yang jauh lebih hebat tentatifnya di masa hadapan. Ia bagi membolehkan ketajaman akal para pengamal media terus di asah bagi membolehkan mata pena kami mencoretkan wacana atau berita yang terbaik untuk tatapan minda anak bangsa.

Sebelum mengundur diri, izinkan serangkap pantun menjadi penutup bicara, ini menjadi bukti bahawa tidak hilang adat dan tradisi di era dominasi TWITTER mahupun VIBER.

Gunung jangan disangka jauh,

Hutan jangan disangka tebal,

Walau di mata kita jauh,

Silaturrahim terus erat dan kekal.