Kursus
CAKNA TEKNIK PENULISAN TEKS UCAPAN EFEKTIF UNTUK TERBITKAN HASIL TERBAIK

CAKNA TEKNIK PENULISAN TEKS UCAPAN EFEKTIF UNTUK TERBITKAN HASIL TERBAIK

Oleh PUAN NUR RAMIZAH ABDUL AZIZ.

Sesuatu penulisan teks ucapan harus disulami oleh corak penyampaian maksud yang mudah dan tepat untuk dibaca. Tidak perlu ayat berbunga-bunga. Informasi dan intipati teks juga mesti mencapai objektif untuk hak sebaran media.

Penting untuk organisasi kerajaan dan agensi-agensi berkaitan memahami teknik penulisan teks ucapan yang efektif termasuk teks siaran media bagi menyampaikan maksud dan maklumat yang sahih untuk pembaca. Penggunaan ayat juga perlu telus agar tidak mengundang bangkitnya isu sensitif yang sepatutnya dielakkan.

Bagi mencapai objektif tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah berjaya menganjurkan kursus Penulisan Teks Ucapan dan Siaran Media pada 23 September 2021. Seramai 52 orang peserta yang merangkumi kakitangan unit komunikasi korporat dan perhubungan awam dari 14 agensi di bawah MOTAC telah menyertai kursus ini.

Berbekalkan pengalaman selama 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penceramah jemputan MPI, Faizal Zakaria, yang juga pemenang Hadiah Kajai HKM 2004 telah berkongsi tips dan teknik penulisan teks ucapan dan siaran media efektif dengan semua peserta.

Sepanjang kursus berlangsung, beliau begitu menekankan penggunaan ayat yang mudah difahami untuk menghasilkan teks ucapan dan siaran media yang memenuhi piawaian organisasi dan pihak media untuk sebaran umum.

Isu-isu sensitif juga perlu dititikberatkan supaya segala informasi berkaitan tidak disalahertikan yang boleh membawa kepada timbulnya isu yang tidak diingini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan teks ucapan dan siaran media dari pejabat Menteri.

Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan berkaitan kepada penceramah. Perbincangan mengenai contoh teks ucapan dan siaran media juga banyak memberi informasi baharu kepada para peserta.

Walaupun kursus diadakan atas talian berikutan Selangor masih di fasa 2 Program Pemulihan Negara, para peserta masih dapat memberi komitmen yang baik sepanjang sesi berlangsung dan rata-rata mengharapkan agar kursus seumpama ini dapat dijalankan secara bersemuka apabila sudah diberi kebenaran oleh kerajaan nanti.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

Penceramah, Faizal Zakaria ketika menyampaikan kursus.
Sesi ‘ice-breaking’ sebelum kursus bermula.
Puan Adina, peserta dari Balai Seni Negara ketika bertanyakan soalan kepada penceramah.
Kesemua peserta bergrup foto kenangan bersama penceramah pada akhir sesi kursus. Terima kasih MOTAC!