Kursus
MEDIA & UNDANG-UNDANG PENUTUP KURSUS MPI 2019

MEDIA & UNDANG-UNDANG PENUTUP KURSUS MPI 2019

Bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL) dan keselamatan dalam kalangan pengamal media, Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) telah mengadakan Kursus Media dan Undang-Undang.

Kursus yang dianjurkan selama dua hari pada 20 – 21 November 2019 bertempatdi Bilik Latihan Malaysian Press Institute Cyberjaya telah diadakan bersama ICRC dengan tema Armed Conflict, Media & The Law pada hari pertama.

ICRC yang merupakan sebuah pertubuhan kemanusiaan yang berfungsi terutamanya dalam situasi konflik bersenjata telah memberi kefahaman undang-undang baharu kepada wartawan dalam menghadapi situasi kecemasan khususnya semasa membuat liputan berita disamping mengetahui peranan dan tanggungjawab ICRC sebagai organisasi kemanusiaan dalam menyebarkan sayapnya untuk menyumbang bantuan kepada masyarakat yang menghadapi ancaman di seluruh dunia amnya.

Selain memfokuskan mengenai pengenalan IHL dan ICRC yang sedikit dry, Penasihat Undang-Undang ICRC, Encik Shaun Kang telah menaikkan semangat para peserta berkenaan topik tersebut dengan melakukan simulasi mengenai satu kajian kes berkenaan isu tersebut untuk menerangkan apa yang dikatakan melanggar undang-undang antarabangasa. Dua orang lagi penceramah dari ICRC yang telah berkongsi pengalaman mereka ialah Kolonel Azlan Iskandar bin Dato Abdul Ghani, Ketua Pengajian Strategik dan Perhubungan Antarabangsa Malaysian Armed Forced Defence College yang menerangkan dengan lebih terperinci mengenai isu IHL ketika berada dalam konflik dan Cik Johanne Van Den Bos, Delegasi Perlindungan ICRC yang banyak membuat liputan di zon konflik seperti di Timor Leste dan Iraq telah berkongsi pengalaman penglibatan penggiat media dalam isu konflik kemanusiaan yang perlu dipatuhi oleh wartawan apabila membuat liputan.

Pada hari kedua, penceramah yang sangat berpengalaman dalam bidang Perlembagaan Undang-undang, Prof Madya Shamrahayu A Aziz, Pensyarah Undang-Undang, UIAM telah berkongsi ilmu beliau bersama peserta dalam situasi yang sangat santai. Penceramah telah memberi peluang kepada peserta untuk bertanyakan apa sahaja soalan berkenaan Perlembagaan Persekutuan di Malaysia.

Banyak persoalan yang dikemukakan oleh peserta dan semuanya dijawab oleh penceramah dalam keadaan yang selesa dan bersahaja. Peserta berasa sangat bertuah kerana dapat bertanyakan soalan face-to-face bersama Prof Sham. Selain teori, para peserta juga dibahagikan kepada 2 kumpulan bagi aktiviti berkumpulan untuk merebut Piala MPI dalam debat Perlembagaan.   

Kekuatan pada kedua-dua hari kursus yang dihadiri seramai 16 orang peserta yang terdiri daripada 12 orang wartawan tempatan seperti BERNAMA, Berita Harian, Harian Metro, TV AlHijrah, Sinar Harian dan Jabatan Penerangan Malaysia, seorang wartawan dari Media Permata, Brunei dan 3 orang pelajar tahun akhir bidang komunikasi di USIM ini adalah pemilihan topik yang sesuai dan penceramah yang sangat berpengalaman.

Kepakaran, pengalaman dan penyampaian yang jelas serta bahan pengajaran yang mudah difahami beserta pengisiannya yang sangat relevan dari penceramah-penceramah jemputan telah membuatkan kursus ini sangat sesuai dengan skop pekerjaan sebagai wartawan.