Diary
Perjalanan 50 tahun MPI dibukukan

Perjalanan 50 tahun MPI dibukukan

logo MPIKENYATAAN MPI

Malaysian Press Institute (MPI), yang penubuhannya diumumkan pada 28 September 1966 dengan nama South East Press Centre merayakan ulang tahunnya yang ke-50 pada tarikh yang sama September 2016 depan.

Penubuhannya itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dengan matlamat utama untuk melatih wartawan muda bukan sahaja dari Malaysia tetapi seluruh Asia Tenggara.

Pada waktu itu, negara ini tidak memiliki institusi latihan kewartawanan yang khusus seperti yang terdapat di pusat-pusat pengajian awam dan swasta pada waktu ini.

Justeru untuk melahirkan wartawan yang professional dan beretika, maka kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Penerangan Malaysia bekerjasama dengan International Press Institute (IPI) dan Press Foundation of Asia (PFA) untuk menubuhkan South East Press Centre.

 

Lima dekad 4Keratan Utusan Malayu bertarikh 29 September 1966 yang mengumumkan penubuhan South East Press Centre pada 28 September

Sebaik sahaja penubuhannya diumumkan, pusat akhbar Asia Tenggara terus mengorak langkah melatih para wartawan tempatan dan negara-negara jiran secara adhoc sementara menunggu pendaftarannya diluluskan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 17 Mei 1967.

Kerajaan Malaysia telah bermurah hati untuk membenarkan sebuah rumah kerajaan yang beralamat di nombor 203, Jalan Ampang sebagai premis untuk pusat itu beroperasi.

 

Berikutan penarikan diri oleh IPI dan PFA sebagai pembiaya South East Asia Press Centre, maka keputusan dibuat untuk menukar nama pusat latihan kewartawanan itu kepada Malaysian Press Institute pada 19 Julai 1974. Pada 3 Disember 1979, Malaysian Press Institute ditukar menjadi Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Geran tahunan sebanyak RM50,000 disalurkan oleh kerajaan untuk membiayai kos operasi IAM. Geran itu kemudian dinaikkan kepada RM100,000 dan seterusnya RM200,000. Mulai 2016, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Malam Wartawan Malaysia 2016, kerajaan bersetuju untuk menambah geran tahunan itu menjadi RM500,000 setahun.

Pada 13 April 2007, IAM dijadikan sebuah yayasan dengan nama Malaysian Press Institute (MPI) di bawah Akta Syarikat 1965.

Sejarah dan kegiatan awal MPI dengan jenama South East Asia Press Centre dan IAM masih lagi dalam peringkat penggalian.

Namun menjelang perayaan 50 tahun MPI pada 28 September 2016, catatan ringkas mengenai perjalanan bergambar setengah abad Institut itu dirakam dalam sebuah buku coffe table dengan judul Perjalanan Lima Dekad Malaysian Press Institute.

Buku itu telah dilancarkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid pada 20 Mei 2016 sempena Malam Wartawan Malaysia 2016.

 

Lima dekad 2YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menurunkan tandatangan sekaligus melancarkan buku Perjalanan Lima Dekad Pertama Malaysian Press Institute. Turut kelihatan di pentas utama menyaksikan YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (kiri) dan Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (kanan).

Buku kulit tebal 172 halaman itu digarap oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya, dibantu oleh Puan Maimunah Abd Rashid sebagai penyelidik.

Buku berharga RM100 itu boleh dibeli terus daripada MPI pada alamat berikut: 2945, Jalan Bukit Ledang, Off Jalan Tuanku Abdul Halim, 50490 Kuala Lumpur, atau hubungi  603 2095 2013/ 2095 2014 untuk keterangan lanjut.

Lima dekad 3Buku lengkap mengenai peranan MPI dalam melatih wartawan dan membangunkan kewartawanan Malaysia sedang diusahakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya.

Buku itu, berserta dengan tiga buku terbaharu terbitan MPI iaitu Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunkasi Politik, Daftar Media 2016, Bibliografi Kewartawanan Chamil Wariya turut akan diedarkan di kedai-kedai buku MPH serta kedai-kedai buku utama yang lain di seluruh negara dalam waktu terdekat ini.

   Strategik Pemujukan Najib Razak Daftar Media 2016 Bibliografi Karya KewartawananDikeluarkan pada :

2 Jun 2016